Penyanyi pop rock terkenal Kanada, Avril Lavigne mencuri perhatian peminat selepas mengumumkan kelahiran cahaya mata pertamanya, seorang bayi perempuan, pada usia 42 tahun.
Berita gembira itu dikongsikan penyanyi yang popular menerusi lagu Complicated dan Girlfriend berkenaan melalui hantaran di Instagram pada Jumaat lalu.
Pengumuman tersebut turut mengejutkan peminat memandangkan Avril sebelum ini tidak pernah mendedahkan kehamilannya secara terbuka.
Menerusi hantaran Instagram, beliau memuat naik tiga keping gambar hitam putih yang memperlihatkan detik istimewa bersama bayi perempuannya.
Antara gambar dikongsikan termasuk tangan kecil bayi yang dipegang kedua-dua ibu bapanya, selain Avril mendukung anaknya yang mengenakan pakaian bercorak harimau bintang.
Satu lagi gambar memperlihatkan tiga pasang kasut Vans bercorak petak hitam putih, termasuk sepasang kasut bayi.
Dalam hantaran tersebut, penyanyi berkenaan meluahkan kegembiraan dengan mengumumkan kehadiran puteri kecil dalam keluarganya.

Bagaimanapun, Avril masih belum mendedahkan nama bayi berkenaan, tarikh sebenar kelahirannya mahupun identiti bapa kepada anak tersebut.
Sementara itu, wakil penyanyi berkenaan memaklumkan kepada PEOPLE bahawa Avril kini menikmati masa bersama keluarga kecilnya sambil meneruskan persiapan menghasilkan album baharu.
Wakilnya turut menyampaikan penghargaan Avril kepada peminat atas segala kasih sayang dan sokongan yang diberikan.
Untuk rekod, Avril mula mencipta nama dalam industri muzik antarabangsa ketika berusia 17 tahun menerusi album sulungnya, Let Go, pada 2002.
Album berkenaan melonjakkan popularitinya menerusi lagu seperti Complicated, I’m With You dan Sk8er Boi, sebelum beliau meneruskan kejayaan dengan album Under My Skin pada 2004 serta The Best Damn Thing pada 2007.
Penyanyi yang pernah menerima lapan pencalonan Anugerah Grammy itu sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan vokalis Sum 41, Deryck Whibley dan vokalis Nickelback, Chad Kroeger.








