Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selaras dengan pendirian yang telah diumumkannya pada Jumaat lalu.
Menurut Anthony Loke, peletakan jawatan itu merupakan keputusan yang berpegang kepada prinsip serta pendirian yang telah dijelaskannya sebelum ini.
“Susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini untuk Dato’ Seri Najib Tun Razak menjalani tahanan rumah dan selaras dengan pendirian yang telah saya umumkan pada Jumaat lalu, peletakan jawatan saya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta.
“Keputusan ini berpegang pada prinsip dan pendirian yang telah saya jelaskan sebelum ini,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepadanya untuk menganggotai Jemaah Menteri sejak Disember 2022.
Anthony Loke turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada barisan pengurusan tertinggi serta seluruh warga Kementerian Pengangkutan atas komitmen dan kerjasama sepanjang tempoh beliau menerajui kementerian berkenaan.
Beliau pada masa sama memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan tugas dapat dilaksanakan dengan lancar.
Katanya, langkah itu penting supaya segala tanggungjawab serta inisiatif Kementerian Pengangkutan dapat diteruskan demi kepentingan rakyat.








