Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan cadangan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan Dajjal, sedangkan cadangan seumpama itu pernah dikemukakan ketika Perikatan Nasional (PN) berada dalam kerajaan.
Anwar berkata, cadangan memorandum berkenaan sebelum ini turut melibatkan pemimpin PN termasuk PAS dan Bersatu, selain UMNO serta Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, draf yang digunakan bagi cadangan CSA ketika ini juga berasaskan prinsip sama seperti memorandum yang pernah dikemukakan sebelum ini.
“Sekali lagi saya sebut, siapa yang kemukakan kertas cadangan memorandum bersama itu adalah Perikatan Nasional yang dianggotai oleh PAS waktu itu dan Bersatu, juga dengan UMNO bersama Pakatan Harapan.
“Dan macam mana sekarang bila dia buat cadangan, bila orang buat jadi Dajjal? Ini masalah dia.
“Saya tidak fikir agama boleh dimainkan sebegini,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa perbincangan mengenai CSA bukan sesuatu yang dirahsiakan, malah beliau tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya kandungan perjanjian itu mahu didedahkan kepada umum.
Beliau berkata, perkara berkenaan akan dibangkitkan kepada Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof yang bertanggungjawab mengendalikan urusan tersebut.
“Saya tak ada masalah, boleh dedahkan. Kerana prinsipnya sama dengan yang kita tandatangani dulu.
“Tapi apa pun, esok mesyuarat Menteri, saya akan sampaikan kepada Datuk Seri Fadillah dan saya tidak ada keberatan untuk mendedahkan,” katanya.
Terdahulu, Abdul Hadi menerusi tulisan Minda Presiden PAS menyifatkan CSA sebagai satu pendekatan Dajjal pada akhir zaman yang didakwanya boleh menjadikan kuasa bukan lagi amanah untuk dilaksanakan kepada semua, sebaliknya digunakan bagi mengekalkan kedudukan pemerintah.
Pada 29 Oktober lalu, Kerajaan MADANI memeterai CSA dengan 13 Ahli Parlimen pembangkang, termasuk wakil Bersatu dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bagi memastikan kestabilan pentadbiran serta sokongan terhadap Belanjawan 2027.








