AGC fail permohonan semakan keputusan bebas Da’i Syed | The Reporter

AGC fail permohonan semakan keputusan bebas Da’i Syed

Da’i Syed dibebaskan Mahkamah Rayuan, Jabatan Peguam Negara akan fail permohonan semakan keputusan.
Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau lebih dikenali sebagai Da’ie Syed. Gambar: Utusan Malaysia.

Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan pendakwah selebriti, Da’i Syed daripada pertuduhan merogol seorang wanita.

Jabatan itu memaklumkan keputusan berkenaan dibuat selepas pihak pendakwaan meneliti alasan penghakiman panel hakim Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful menerusi keputusan majoriti.

Menurut kenyataan itu, permohonan semakan berkenaan akan difailkan di bawah Kaedah 105 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

“Permohonan semakan ini akan berlandaskan prinsip-prinsip perundangan serta kriteria dan ambang yang telah ditetapkan bagi pelaksanaan bidang kuasa semakan Mahkamah Rayuan,” menurut kenyataan itu.

Jabatan berkenaan menjelaskan, hujahan pihak pendakwaan akan memberi tumpuan kepada persoalan sama ada wujud keadaan luar biasa yang memenuhi syarat perundangan bagi membolehkan Mahkamah Rayuan mempertimbangkan pelaksanaan bidang kuasa semakannya.

Dalam masa sama, AGC menegaskan pihaknya menghormati keputusan mahkamah dan kekal komited untuk memastikan keadilan ditegakkan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan menerusi keputusan majoriti 2-1 melepas dan membebaskan Da’i Syed daripada pertuduhan merogol seorang wanita, sekali gus mengetepikan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim dengan Datuk Azman Abdullah yang mengetuai panel bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid membenarkan rayuan Da’i Syed, manakala Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid memberikan keputusan berbeza.

Related Posts