Tular video pelajar disyaki khayal akibat vape, positif tiga jenis dadah | The Reporter

Tular video pelajar disyaki khayal akibat vape, positif tiga jenis dadah

Kenyataan media Polis Negeri Sembilan berhubung video tular pelajar sekolah disyaki khayal akibat penggunaan vape.
Tangkapan layar video tular memaparkan seorang pelajar sekolah disyaki berada dalam keadaan khayal akibat penggunaan vape.

Seorang pelajar sekolah menengah yang tular menerusi rakaman video dipercayai berada dalam keadaan khayal akibat penggunaan vape didapati positif tiga jenis dadah menerusi ujian saringan awal air kencing.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, ujian terhadap pelajar terbabit menunjukkan keputusan positif bagi ketamin, benzodiazepin (benzo) dan THC, namun keputusan berkenaan masih tertakluk kepada pengesahan lanjut.

Menurutnya, pihak polis menjalankan siasatan selepas rakaman video memaparkan pelajar berkenaan tular di media sosial Threads pada 4 November lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 28 Oktober 2026 di sebuah sekolah menengah di daerah Nilai, Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Beliau berkata, polis telah mengenal pasti pelajar yang terlibat dan satu laporan polis turut dibuat berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, pelajar tersebut akan dirujuk kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Dalam pada itu, Alzafny menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, selain memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam menangani gejala penyalahgunaan dadah.

Related Posts