Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan premis penyembelihan ayam yang tular di media sosial baru-baru ini bukan milik syarikat Bhuiyen Sdn. Bhd., sebaliknya didaftarkan atas nama entiti lain.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, perkara itu dikenal pasti hasil risikan awal dan pemeriksaan yang dijalankan susulan penularan video berkenaan yang menimbulkan persoalan mengenai pematuhan hukum syarak dalam proses penyembelihan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa bekalan ayam hidup yang digunakan untuk aktiviti penyembelihan di premis terbabit diperoleh daripada Bhuiyen Sdn. Bhd.
“Semakan turut mendapati premis dan produk ayam yang disembelih oleh syarikat berkenaan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada JAKIM mahupun pihak berkuasa agama Islam negeri,” katanya.
Menurut beliau, pemeriksaan berkenaan dilaksanakan secara bersama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Dalam perkembangan sama, Sirajuddin memaklumkan bahawa premis terbabit sebenarnya telah diarahkan tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 10 Oktober lalu.
Katanya, arahan penutupan itu dibuat susulan pelanggaran aspek kesihatan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tempat Makanan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2026.
Sehubungan itu, JAKIM telah mengemukakan permohonan kepada DBKL bagi mendapatkan pengesahan mengenai status lesen premis serta entiti yang mengendalikan aktiviti pemprosesan ayam berkenaan.
Langkah tersebut bertujuan melengkapkan penelitian sebelum tindakan susulan diambil oleh pihak berkuasa berkaitan.
Tegas beliau, JAKIM memandang serius sebarang aktiviti penyembelihan yang tidak mematuhi hukum syarak kerana perkara itu merupakan aspek asas yang tidak boleh dipandang ringan.
“Sebarang pelanggaran yang dikenal pasti akan ditangani melalui tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan undang-undang dan bidang kuasa pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa JAKIM akan meneruskan kerjasama dengan agensi penguat kuasa bagi memperkukuh pemantauan serta memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap sebarang pelanggaran yang dikesan.








