Polis cari saksi kemalangan maut di Lebuhraya Cheras-Kajang | The Reporter

Polis cari saksi kemalangan maut di Lebuhraya Cheras-Kajang

Kenyataan polis berhubung kemalangan maut membabitkan motosikal dan lori di Lebuhraya Cheras-Kajang.
tangkap layar video tular di lokasi nahas Tangkap layar video tular memaparkan lokasi kemalangan maut di Lebuhraya Cheras-Kajang.

Polis sedang mengesan saksi kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal berusia 23 tahun di Kilometer 13.1 Lebuhraya Cheras-Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian membabitkan sebuah motosikal dan lori kira-kira jam 6 petang, Isnin.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kajang sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan.

“Pada masa sama, sebuah lori yang melalui laluan berkenaan dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa yang berada di atas jalan.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, setakat ini, pemandu lori terbabit masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang awam yang menyaksikan kemalangan atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) dan video kejadian supaya tampil membantu siasatan.

Individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-326 8496.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Dalam pada itu, Naazron menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhemah, mematuhi peraturan lalu lintas dan had laju yang ditetapkan bagi mengelakkan kemalangan.

Sementara itu, keluarga Allahyarham turut merayu orang awam yang mempunyai rakaman dashcam atau menyaksikan kemalangan di Lebuhraya Cheras-Kajang, berhampiran NSK menghala ke Kajang, supaya tampil membantu menjelaskan kronologi kejadian.

Terdahulu, tular video seorang wanita dipercayai ibu kepada mangsa bersama rakan bergegas ke lokasi nahas kejadian.

Bagaimanapun, perjalanan mereka terhalang akibat kesesakan lalu lintas yang teruk sebelum meminta bantuan seorang penunggang motosikal untuk membawanya ke lokasi kemalangan melibatkan anaknya.

Related Posts