Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perjalanan pulang 15 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ke Ipoh bertukar tragedi apabila trak yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, pagi tadi.
Kemalangan yang berlaku sekitar jam 8.30 pagi itu mengorbankan lapan anggota FRU, manakala beberapa lagi mangsa cedera dan sedang dirawat di Hospital Teluk Intan.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.54 pagi.
“Setakat ini saya boleh mengesahkan bahawa lapan orang meninggal dunia dan operasi menyelamat masih dijalankan.
“Beberapa mangsa yang berjaya dikeluarkan dari kenderaan telah dihantar ke Hospital Teluk Intan, namun operasi masih diteruskan,” katanya.
Difahamkan, kesemua anggota terlibat baru sahaja selesai menjalankan tugasan kawalan sempena perarakan Hari Wesak dan sedang dalam perjalanan pulang ke pangkalan mereka di Ipoh.
Kenderaan tersebut membawa 15 individu termasuk pemandu, dan kerja-kerja menyelamat sedang diteruskan oleh pihak bomba bersama agensi lain yang terlibat.
Difahamkan juga, proses pengecaman mangsa sedang dijalankan di Hospital Teluk Intan sebelum sebarang pengesahan lanjut dibuat oleh pihak berkuasa.
Sumber: Harian Metro, Astro Awani, Berita Harian, mStar Online








