Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Boleh dikatakan hampir semua kanak-kanak hari ini sudah dibekalkan dengan telefon bimbit atau pelbagai jenis gajet lain sejak usia kecil. Kesibukan kerja ibu bapa sering kali menjadi alasan utama anak-anak diberikan gajet sebagai peneman atau alat hiburan bagi mengisi masa ketika mereka tiada di sisi.
Namun, berbeza dengan seorang bapa kepada tiga orang anak ini yang memilih untuk membesarkan anak-anaknya tanpa sebarang gajet selama tujuh tahun. Keputusan itu dianggap luar biasa dalam dunia serba moden hari ini, namun hasilnya ternyata memberi banyak kesan positif terhadap perkembangan anak-anaknya.
Dalam satu perkongsian yang mendapat perhatian di media sosial, lelaki itu menceritakan bagaimana keputusan itu memberi kesan besar terhadap perkembangan anak-anaknya.
“Tujuh tahun aku dan isteri membesarkan anak-anak kami tanpa gajet. Telefon dan tablet adalah sesuatu yang asing bagi mereka,” katanya.

Baca juga:
- Hong Thai tarik balik inhaler herba
- Anwar nafikan Malaysia tunduk kepada AS, tetap lantang bela Palestin
- Anthony Loke selar syarikat lori berdegil bawa lebih muatan
Katanya, tanpa gajet, anak-anak lebih cepat mempelajari pelbagai kemahiran dan menunjukkan tahap kreativiti yang tinggi. Mereka juga lebih bijak berinteraksi serta mampu bersosial dengan baik di dunia sebenar.
Tambahnya lagi, anak-anaknya membesar sebagai individu yang mempunyai empati yang tinggi dan tahu mengawal emosi dengan baik. Mereka jarang mengalami tantrum, malah pandai mengurus rasa bosan dengan mencari aktiviti sendiri. Menurutnya, biasanya anak sulung akan menjadi ketua dan mengajak adik-adik melakukan pelbagai aktiviti bersama di rumah.

Katanya, kehidupan tanpa gajet turut menjadikan hubungan kekeluargaan mereka lebih rapat kerana banyak masa dihabiskan dengan aktiviti bersama. Anak-anak lebih seronok bermain di luar, berlari dan membina kreativiti melalui permainan seperti Lego. Tambahnya, mereka juga tidak menghadapi masalah tidur kerana semuanya sudah terbiasa dengan rutin waktu yang teratur.
“Bila tak ada gajet, mereka akan cari aktiviti sendiri. Abang jadi ketua, adik-adik ikut,” katanya.
Perkongsiannya itu menarik perhatian ramai yang kagum dengan ketegasan dan kesedaran pasangan ini dalam mendidik anak-anak di era digital. Walaupun ramai mengakui sukar untuk melaksanakan perkara yang sama, rata-rata netizen menganggap pendekatan tersebut wajar dijadikan contoh dan inspirasi buat ibu bapa lain.








