Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Enam lelaki bertopeng dan bersenjata parang menyerang dua penghuni di sebuah rumah di Jalan Bunga Melur, Batu 14, Puchong, awal pagi Ahad lalu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar, kejadian berlaku kira-kira jam 12.13 pagi apabila kumpulan penjenayah yang menaiki tiga buah kereta membuka pagar dan pintu rumah yang tidak berkunci sebelum menyerbu masuk.
“Suspek terus menyerang dua penghuni lelaki berusia 31 dan 38 tahun yang berada di ruang tamu. Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada bahu, badan, kaki, dan tangan akibat ditetak berkali-kali,” katanya.
Selepas menyerang, kumpulan penjenayah melarikan diri dengan tiga kenderaan tanpa mengambil sebarang barangan milik mangsa. Mangsa kini dirawat di Hospital Serdang dan berada dalam keadaan stabil.
Enam suspek ditahan
Susulan kejadian itu, polis telah melancarkan gerakan memburu suspek dan berjaya menahan enam lelaki berusia 23 hingga 28 tahun pada jam 8 malam hari yang sama. Turut dirampas dalam tangkapan itu ialah sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam serangan.
Menurut Mohd Fairus, siasatan awal mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah dan narkotik.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394/326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan semasa rompakan bersenjata.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222 atau ASP Khairulazizi Ismail di 019-2817820.
Sumber: Sinar Harian