Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kejadian kejar-mengejar antara kereta peronda polis dan sebuah Proton Satria putih berakhir dengan penahanan dua lelaki tempatan di Jalan PJU 1A/1, Ara Damansara, pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, berkata insiden bermula apabila kenderaan suspek yang dipandu melawan arus cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya di Kilometer 16, Lebuhraya Damansara-Puchong sekitar jam 11.32 pagi.
Dalam usaha melarikan diri, kereta tersebut melanggar sebuah kereta peronda polis dan sebuah motosikal yang ditunggang orang awam.
Pemeriksaan mendapati, pemandu Proton Satria berusia 30 tahun mempunyai 11 rekod jenayah dan lima rekod berkaitan dadah. Penumpangnya, seorang lelaki berusia 29 tahun, pula memiliki satu rekod jenayah lampau.
Polis turut menemui dadah jenis syabu seberat 12.87 gram dan senjata elektrik dalam kenderaan mereka.
“Kedua-dua suspek telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Kes disiasat di bawah Seksyen 307/186/279 Kanun Keseksaan, Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya, Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 42(1) APJ 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menghubungi balai polis berdekatan atau Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.








