12 penyamun pecah rumah jam 5 pagi, larikan barang kemas bernilai RM600,000 | The Reporter

12 penyamun pecah rumah jam 5 pagi, larikan barang kemas bernilai RM600,000

Video CCTV kejadian 12 penyamun pecah rumah banglo, tular di media sosial

Sebuah keluarga mengalami detik cemas apabila rumah mereka di Pandamaran, Klang, dimasuki hampir 12 orang penyamun bersenjatakan parang pada awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki berusia 37 tahun cedera di bahu akibat ditetak oleh penyamun.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian berlaku sekitar jam 5 pagi apabila kumpulan penjenayah yang dipercayai warga tempatan memanjat tembok pagar rumah banglo tiga tingkat tersebut.

Kesemua suspek memakai pelitup muka, sarung tangan, dan bersenjatakan parang.

Penjenayah tersebut mengikat tiga penghuni rumah sebelum menggeledah barangan berharga. Mereka berjaya melarikan wang tunai, patung sembahyang dan barang kemas bernilai RM600,000.

Seorang penghuni rumah yang mengalami kecederaan telah dihantar dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Klang.

Polis kini sedang giat mengesan dan menangkap suspek yang terlibat dalam kejadian ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

Sumber: Harian Metro

Related Posts