Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
ZUS Coffee hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi susulan satu insiden yang berlaku di salah sebuah cawangannya pada Ahad lalu, yang melibatkan salah seorang pekerjanya yang digelar sebagai Zurista.
Menurut kenyataan itu, pihak syarikat memaklumkan laporan polis telah dibuat pada hari Isnin bagi memastikan keselamatan serta melindungi privasi individu terbabit.
“Zurista yang terlibat kekal bersama kami dan kini sedang mengambil cuti bergaji untuk pulih daripada insiden tersebut. Kesejahteraannya kekal menjadi keutamaan kami,” jelas pihak ZUS Coffee.
Tambah kenyataan itu, ZUS Coffee menyedari bahawa pelanggan hadir dengan pelbagai jangkaan dan menganggap insiden ini sebagai peluang untuk memperkukuh latihan serta sistem sokongan bagi semua kakitangan.
“Kami berusaha membina budaya kerja yang mampu menangani cabaran dengan profesionalisme dan empati,” ujar syarikat itu lagi.
Baca juga:
- Banjir Hatyai: Pelancong Malaysia enggan diselamatkan sebab belum waktu ‘check-out’
- Shamsul Iskandar letak jawatan Setiausaha Politik Kanan PM
- Lelaki mengaku bersalah liwat & bunuh bayi asuhan isteri, dipenjara 30 tahun & 13 sebatan
Dalam masa yang sama, ZUS Coffee turut menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan atau mendedahkan identiti individu terlibat serta membantu memadamkan hantaran yang berpotensi menjejaskan kesejahteraan mental mereka.
“Insiden ini memberi kesan kepada kesejahteraan mental. Kami memohon komuniti membantu memadamkan hantaran yang mendedahkan identiti, kerana penyebaran berterusan boleh membawa kesan yang nyata dan berpanjangan.”
ZUS Coffee menegaskan pendirian mereka bahawa syarikat tidak bertolak ansur dengan sebarang tingkah laku agresif, dan komited untuk memastikan setiap premis kekal sebagai tempat yang selamat untuk semua pelanggan dan komuniti.
“Di ZUS, kami tidak bertolak ansur dengan tingkah laku agresif dan kami komited untuk memastikan premis kami kekal selamat untuk komuniti,” tegas kenyataan itu.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang pelanggan wanita menengking barista akibat kelewatan penyediaan minuman sebelum didakwa melempar secawan kopi ke arahnya.








