Selebriti yang terkenal dalam lakonan Gerak Khas, Zulkifli Ismail mencadangkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan semula mata pelajaran Tatarakyat di semua sekolah kerajaan dan juga swasta.
Penulis, pengacara dan pelakon itu menyatakan mata pelajaran berkenaan perlu dikembalikan bagi melahirkan rakyat yang lebih bersopan santun dan bertatasusila.
“Saya cadangkan supaya mata pelajaran TATARA’AYAT (Tatarakyat) diajarkan semula di semua sekolah di seluruh negara termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah swasta dan lain-lain.
“Cadangan ini bagi melahirkan warga yang lebih bersopan santun dan bertatasusila,” tulisnya.
Menerusi hantaran di Facebook itu, beliau juga memuat naik gambar buku lama yang masih disimpan yang bertajuk ‘Tatara’ayat ada-lah Kera’ayatan Yang Baik’.
Buku untuk pelajar Tingkatan Satu itu ditulis oleh C.Michael dan T.Daniel serta diterjemahkan oleh C.Campbell.
Sementara itu, di ruangan komen, ramai yang menyokong cadangan beliau bagi melahirkan generasi yang lebih bertatasusila.