Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sebuah zoo di China sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila didapati mengecat anjing dengan corak belang hitam dan oren bagi menyerupai harimau.
Taktik zoo berkenaan mengundang kecaman ramai dan difahamkan zoo yang sama pernah melakukan perkara serupa dengan menjadikan anjing kelihatan seperti panda.
Rakaman yang dikongsi di platform Douyin, versi TikTok di China, menunjukkan seekor anjing baka Chow Chow berlari-lari di dalam kandangnya di Qinhu Bay Forest Animal Kingdom, Taizhou. Dengan corak belang menyerupai harimau, cubaan zoo itu untuk mengelirukan pengunjung bagaimanapun tidak berjaya.
Selepas didesak media tempatan, pihak zoo akhirnya mengakui bahawa haiwan tersebut adalah anjing Chow Chow yang telah diwarnakan menyerupai harimau. Namun, mereka mendakwa ia sekadar ‘gimik’ dan bahan pewarna yang digunakan adalah selamat serta tidak membahayakan haiwan.
Ini bukan kali pertama zoo di China dikecam kerana cubaan menipu pengunjung. Sebelum ini, zoo di Guangdong dilaporkan mengecat dua ekor anjing dengan warna hitam dan putih bagi menyerupai panda, sehingga menyebabkan pelawat meminta wang mereka dikembalikan selepas menyedari penipuan tersebut.
Sementara itu, Taizhou Zoo di wilayah Jiangsu turut pernah melakukan perkara sama pada Mei tahun lalu dengan menampilkan ‘panda anjing’, di mana bulu anjing-anjing tersebut dicukur sebelum dicat bagi meniru penampilan panda.
Tindakan zoo itu membuat ramai orang marah kerana mereka melihatnya sebagai eksploitasi haiwan. Namun, pihak zoo menjelaskan mereka hanya mahu menarik perhatian pengunjung kerana tidak mempunyai panda sebenar. Mereka juga menafikan dakwaan menzalimi haiwan, sedangkan mewarnakan bulu anjing bukan satu masalah kerana manusia juga mewarnakan rambut mereka.
Bagaimanapun, taktik seperti ini semakin tidak diterima baik oleh orang ramai, dengan ramai yang mendesak agar haiwan tidak dieksploitasi untuk tujuan hiburan semata-mata. – Agensi