Tengah hari tadi, temankan isteri membeli kasut di sebuah pasar raya di Gurney, Pulau Pinang. Saya mengambil inisiatif menjaga anak-anak, sementara itu beliau pergi membeli kasut raya bagi menggantikan kasutnya yang sudah rosak. Maklumlah dah lama, sibuk. Masa inilah nak beri peluang buat isteri.
“Teettttt!” mesej WhatsApp masuk.
Sekeping gambar di dalamnya ada dua pasang kasut. Sebelah, kasut asal beliau masuk dalam frame juga. Saya sudah tahu jawapannya tetapi saya tidak terus menjawab. Cuma perhati apa soalannya.
“Yang mana cantik dan sesuai dengan saya ya?” Itu dia, soalan mai maut punya.
Saya tarik nafas dan mula menaip.
“Hmm.. yang merah itu nampak garang, cantik. Kena dengan semangat awak yang sentiasa bertenaga dan hebat. Warna hitam itu pun boleh tahan juga sebenarnya. Nampak elegan, bergaya dan eksklusif. Saya pilih hitam agar nampak kena dengan awak,” ujar saya.
“Okay! Thanks,” balasnya ringkas.
Tak sampai 10 minit kemudian, dia keluar dengan memakai kasut baharunya sambil tersenyum. Tangan pun tak sempat lenguh dukung kembar lagi. Amacam?
Saya sangat berterima kasih kepada siapa entah yang bagi tips supaya kau jangan jawab pendek sangat bila isteri bertanya. Jawab seolah-olah kau berfikir walaupun hakikatnya otak kau tepu.
Cuba kalau kita jawab, “Mana-mana saja,”. Mau lagi 4 jam baru dia keluar. Itu pun kalau terjumpa jalan yang benar dan tak lalu poster ‘Sales 70%’. – Lutfi Lokman | PIXEL MEDIA