Yahya Sinwar dinamakan oleh Hamas sebagai pengganti kepada Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Tehran minggu lalu.
Dalam satu laporan menyatakan, Sinwar merupakan perancang serangan paling dahsyat ke atas Israel dalam beberapa dekad dan bersembunyi di Gaza.
Percubaan Rejim Zionis untuk membunuhnya sejak permulaan perang gagal.
Pelantikan itu diumumkan ketika Israel bersiap sedia untuk berdepan kemungkinan serangan dari Iran berikutan pembunuhan Haniyeh di Tehran.
Satu mesej pada rejim zionis
Menurut seorang diplomat serantau, pelantikan itu juga bermaksud Israel perlu berhadapan dengan Sinwar mengenai penyelesaian kepada perang Gaza dan merupakan mesej mengenai ketabahan dan tiada kompromi.
Sinwar, antara individu yang menghabiskan separuh hayatnya di penjara Israel merupakan pemimpin Hamas paling berkuasa yang masih hidup selepas pembunuhan Haniyeh.
Insiden berkenaan juga membuatkan wilayah berkenaan berdepan dengan konflik serantau yang lebih luas selepas Iran berikrar membalas dendam.
Israel bagaimanapun tidak mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu tetapi mengakui membunuh pemimpin kanan lain termasuk timbalan ketua Hamas, Saleh al-Arouri yang terbunuh di Beirut dan Mohammed Deif, komander tentera pergerakan itu.
Sinwar, 61, dilahirkan di kem pelarian di bandar selatan Gaza di Khan Younis, dipilih sebagai ketua Hamas di Gaza pada 2017.
Ketua jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari, menyalahkan Sinwar atas serangan 7 Oktober dan berkata Israel akan terus memburunya.
Sumber: Berita Harian