Waris dua pelancong China maut dihempap pokok, tuntut pampasan RM1.7 juta | The Reporter

Waris dua pelancong China maut dihempap pokok, tuntut pampasan RM1.7 juta

Waris tuntut pampasan RM1.7 juta
Sumber gambar: Berita Harian

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Keluarga dua pelancong warga China yang maut akibat dihempap pokok tumbang bersama binaan konkrit di sebuah muzium di Lebuh Gereja, September tahun lalu, telah memfailkan notis tuntutan saman berjumlah RM1.7 juta terhadap lima pihak.

Notis tuntutan saman tersebut, menurut peguam keluarga mangsa, Ng Kian Nam, menamakan operator muzium Pinang Peranakan Mansion Sdn Bhd, pemilik tanah muzium SSM Capital Sdn Bhd, pemilik tanah tempat pokok tumbuh Sri Kumaran’s Textile Sdn Bhd, agensi pelancongan Pony Holiday Sdn Bhd, dan pemandu pelancong Har Kwai Leng sebagai defendan.

“Kita juga memohon penjelasan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkenaan tindakan selepas kejadian serta kemungkinan saman terhadap MBPP sekiranya respons mereka tidak memuaskan,” katanya.

Sumber gambar: Utusan Malaysia

Pada 18 September tahun lalu, Liu Zhu, 69, dan anak perempuannya, Liu Xin Xin, 36, maut apabila kereta yang mereka naiki dihempap pokok dan runtuhan konkrit di pekarangan Pinang Peranakan Mansion. Ketika kejadian, mereka sedang melancong ke Pulau Pinang melalui pakej pelancongan selama lapan hari tujuh malam.

Mangsa lelaki merupakan pesara dengan pencen RM2,000 sebulan, manakala anak perempuannya seorang pegawai sumber manusia dengan pendapatan RM7,700, turut meninggalkan seorang anak lelaki berusia 11 tahun yang kini mengalami trauma mendalam akibat kejadian itu.

Tuntutan ganti rugi

Notis saman yang difailkan keluarga mangsa antaranya merangkumi ganti rugi kesedihan, kehilangan tanggungan, perbelanjaan pengebumian, serta kerugian lain dengan jumlah tuntutan RM1,762,325.69.

Pihak keluarga mendakwa semua pihak terbabit gagal memastikan keselamatan di kawasan parkir muzium itu, termasuk tidak mengambil langkah berjaga-jaga sewajarnya terhadap pokok yang tumbuh berhampiran. Selain itu, pemandu pelancong yang membawa mangsa didapati tidak memiliki lesen PSV yang sah.

“Kita juga ingin tahu sama ada pengendali muzium pernah membuat aduan tentang risiko pokok itu sebelum kejadian. Jika tiada, ini menunjukkan kelemahan ketelusan pihak berkaitan,” kata Ng.

Tindakan Pro Bono untuk kesedaran umum

Ng menjelaskan, kes ini diambil atas dasar pro bono bagi meningkatkan kesedaran tentang keselamatan kawasan awam serta mempertahankan reputasi pelancongan Pulau Pinang.

“Tragedi ini boleh dielakkan jika semua pihak melaksanakan tanggungjawab dengan teliti. Kita mahu keadilan untuk keluarga mangsa dan langkah pencegahan supaya kejadian sebegini tidak berulang,” ujarnya.

Keluarga mangsa berharap permohonan maaf daripada pihak bertanggungjawab dapat diberikan bersama ganti rugi yang dituntut.

Sumber: Sinar Harian, Harian Metro

Related Posts