Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki warga Taiwan berusia lingkungan 60-an maut selepas dipercayai terjatuh ke landasan dan digilis tren di Stesen LRT Pusat Bandar Puchong, hari ini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar waktu kejadian dan bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat. Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Farid Ahmad berkata, mayat lelaki itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah untuk proses bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today.
Sementara itu, pengendali tren Rapid KL mengesahkan perkhidmatan tergendala di empat stesen sepanjang laluan LRT Sri Petaling susulan kejadian tersebut. Ia melibatkan stesen IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong dan Bandar Puteri.
Sebagai langkah alternatif, perkhidmatan bas pengantara disediakan kepada penumpang yang terjejas. Tren dari arah Putra Heights akan membuat pusingan di Stesen Puchong Perdana, manakala tren dari arah Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Kinrara BK5.
Februari lalu, seorang lelaki warga emas buta maut selepas hilang imbangan dan terjatuh ke landasan di Stesen LRT Titiwangsa. Susulan insiden berkenaan, Prasarana Malaysia Bhd memaklumkan pihaknya bercadang memasang sensor platform dan pintu keselamatan automatik (platform screen doors) di stesen-stesen LRT bagi meningkatkan tahap keselamatan penumpang, khususnya golongan berkeperluan khas.
Ringkasan Berita:
• Warga emas Taiwan maut selepas terjatuh ke landasan dan digilis tren di LRT Pusat Bandar Puchong
• Perkhidmatan tergendala di empat stesen LRT Sri Petaling, Rapid KL aktifkan bas alternatif
• Insiden timbulkan semula keperluan platform keselamatan seperti pintu automatik di stesen LRT








