Cemas! Wanita nekad terjun dari kereta, takut dipukul suami | The Reporter

Cemas! Wanita nekad terjun dari kereta, takut dipukul suami

Kes wanita terjun kereta elak dipukul suami.
Polis menahan suami mangsa selepas wanita nekad terjun kereta untuk menyelamatkan diri. | Gambar dari video tular di media sosial

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila terpaksa terjun kereta elak dipukul suami dalam satu kejadian di Jalan Lencongan Timur, Sungai Petani. Tindakan itu diambil selepas berlaku pergelutan berpanjangan ketika kereta sedang bergerak.

Mangsa mendakwa kejadian bermula di sebuah stesen minyak di Sungai Lalang sekitar jam 6 petang, apabila dia secara tiba-tiba diseret dari keretanya sendiri sebelum dibawa masuk ke dalam kereta suami. Ketika itu, suaminya dipercayai berada dalam keadaan marah.

Sepanjang perjalanan, pasangan itu dikatakan bergaduh dan mangsa beberapa kali cuba melindungi diri. Suami didakwa terus berkelakuan agresif, menyebabkan wanita itu semakin takut dan cemas dengan situasi yang berlaku.

Baca juga:

Ketika melalui simpang Jalan Lencongan Timur, mangsa terpaksa membuat keputusan berisiko dengan membuka pintu penumpang dan terjun keluar dari kereta yang masih bergerak. Dia mengalami kecederaan akibat tindakannya itu, namun berjaya mendapatkan bantuan orang awam.

Selepas mendapatkan bantuan, mangsa terus membuat laporan polis. Siasatan awal mendapati, pasangan itu baru berkahwin pada Oktober 2024 tetapi sudah tinggal berasingan sejak sebulan lalu kerana mangsa mendakwa kerap dipukul.

Bertindak di atas laporan, polis kemudian menahan suami mangsa untuk siasatan lanjut. Mahkamah Sungai Petani membenarkan perintah reman selama dua hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga. Polis menegaskan siasatan diteruskan untuk memastikan keadilan kepada mangsa.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts