Isu membawa haiwan peliharaan ke dalam kompleks beli belah di Malaysia kembali menjadi perhatian umum. Sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan seorang wanita yang membawa anjing peliharaannya masuk ke sebuah premis yang menjual produk jenama Apple.
Dalam video tersebut, wanita itu kelihatan tidak berpuas hati apabila ditegur oleh kakitangan premis tersebut yang memaklumkan haiwan peliharaan tidak dibenarkan masuk ke premis.
Walaupun ditegur secara baik, wanita itu tetap tidak berpuas hati dan bertanya semenjak bila larangan itu dikenakan.
Di media sosial, netizen mengkritik tindakan wanita berkenaan.
“Semua binatang peliharaan waima kucing sekali pun adalah tidak dibenarkan, dia ingat semua undang-undang atau peraturan ikut tekak dia ke?” kata netizen.
Netizen juga menggesa pihak pengurusan kompleks beli belah untuk meletakkan papan tanda yang menegaskan bahawa pengunjung tidak dibenarkan membawa haiwan peliharaan.
“Kalau ada polisi no pets allowed, elok paparkan papan tanda dengan jelas agar tidak timbul isu seperti ini di kemudian hari.
“Kebanyakan orang tempatan tahu larangan ini apabila berada di tempat awam. Tetapi warga asing mungkin ingat keadaan di sini sama seperti di negara mereka,” tambah netizen lain.








