Wanita pesan jangan buat ipar-duai serik balik kampung | The Reporter

Wanita pesan jangan buat ipar-duai serik balik kampung

Wanita dan ipar-duai memasak bersama di dapur sempena Hari Raya sambil diperhatikan seorang ibu tua
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Suasana dapur ketika musim perayaan sering menjadi nadi kepada kemeriahan sesebuah keluarga. Namun, di sebalik kesibukan itu, terselit juga cabaran emosi dan hubungan kekeluargaan yang perlu dijaga dengan baik. Itulah yang dikongsikan oleh seorang wanita menerusi luahan jujurnya mengenai pengalaman mengurus dapur bersama ipar-duai ketika sambutan Hari Raya baru-baru ini.

Menurutnya, sebagai anak perempuan dalam keluarga yang mempunyai beberapa kakak dan adik ipar, dia memahami keadaan ibunya yang sudah berusia dan kadangkala sukar bertolak ansur dengan cara kerja generasi muda. Walaupun begitu, dia dan adik-beradik lain cuba memainkan peranan ‘menutup kelemahan’ ipar-duai demi menjaga keharmonian keluarga, memandangkan mereka sendiri juga bergelar menantu di rumah mentua masing-masing.

“Mak aku dah tua…Bohonglah kalau dia sentiasa tenang je dengan ragam anak menantu. Cuma aku dan adik-adik selalu cover… Kelemahan kakak-kakak ipar dan adik ipar kami usaha lindung sebab kami pun menantu kepada mak suami masing-masing,” katanya.

Baca juga:
Pilih sikap santai dan terbuka

Situasi menjadi lebih mencabar apabila dia tidak dapat membantu sepenuhnya di dapur seperti kebiasaan, menyebabkan kakak ipar dan adik ipar terpaksa mengambil alih tugas memasak. Perbezaan cara kerja antara ibunya yang teliti dan ipar-duai yang lebih praktikal sedikit sebanyak mencetuskan tekanan. Namun, wanita itu memilih untuk meredakan keadaan dengan sikap santai dan terbuka, termasuk memberi kebebasan kepada ipar-duainya untuk menyediakan bahan masakan tanpa terlalu terikat dengan cara lama.

Apa yang mencuit hati, suasana tegang bertukar menjadi lucu apabila ibunya tiba-tiba muncul di dapur dan memerhati kerja-kerja memasak, sekali gus membuatkan ipar-duai menjadi gelabah. Dengan berani tetapi penuh hormat, wanita itu meminta ibunya berehat dan memberi ruang kepada menantu-menantu untuk bekerja dengan lebih selesa, sekali gus mencairkan suasana dengan gelak tawa.

Keluarga mainkan peranan

Dalam masa sama, dia menegaskan pentingnya peranan ahli keluarga untuk memastikan menantu tidak berasa tertekan atau serik untuk pulang ke kampung. Menurutnya, sikap terlalu mencari kesalahan boleh membuatkan suasana menjadi tidak selesa, malah boleh menyebabkan menantu menjauhkan diri. Sebaliknya, teguran perlu dilakukan dengan cara yang baik dan membina.

“Aku memang jujur je dengan mak sebab aku pun menantu pada orang lain. Jadi aku faham apa menantu-menantu mak aku rasa. Dengan mak ayah kita tak boleh nak kata apa kadang-kadang orang tua ni dia masih terperangkap dalam cara kehidupan lama… Tapi kita kak ipar atau adik ipar mainkan peranan untuk elakkan keadaan jadi tak seronok… Jangan buat ipar duai serik nak balik kampung dan masuk dapur,” ujarnya.

Kerjasama ipar duai, adik beradik

Luahan tersebut turut menekankan bahawa kerjasama antara adik-beradik, pasangan dan ipar-duai adalah kunci kepada kelancaran urusan, terutama ketika perayaan. Dengan sikap saling membantu dan tidak berkira tenaga, segala kerja menjadi lebih mudah dan suasana raya tetap meriah walaupun sederhana.

“Sepanjang aku berada di dapur dengan keadaan tangan dan kesihatan tak okay, ipar duai tak kedekut tenaga. Adik beradik dan suami pun sama. Pakat tolong sibuk sorang sikit. Maknanya ada je orang buat kerja bersilih ganti bukan orang yang sama je.

“Semua jadi mudah. Raya rasa meriah walau serba sederhana,” jelasnya.

Dalam perkongsian tersebut juga, wanita itu turut mengingatkan agar ahli keluarga menjauhi sikap ‘batu api’ atau menyampaikan cerita yang boleh mengeruhkan hubungan. Baginya, keharmonian keluarga perlu dijaga dengan penuh keikhlasan, empati dan saling memahami antara satu sama lain.

Related Posts