Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Sejak semalam tular video menunjukkan seorang wanita berusia 30-an mengamuk di hadapan sebuah butik di dalam pusat beli belah di Queensbay Mall, Bayan Lepas.
Dalam kejadian di hadapan premis VS Outlet itu, suspek menjerit memarahi kakitangan butik dan merosakkan barangan premis.
Menurut laporan Sin Chew Daily, sebelum kejadian itu, suspek pada jam 9 malam 27 Mei lalu telah datang dan mencuri dua helai pakaian bernilai RM99 yang dimasukkan ke dalam beg.
Perbuatannya itu disedari oleh pelanggan lain yang segera memaklumkan perkara itu kepada kakitangan butik. Bertindak di atas maklumat itu, kakitangan bertugas meminta suspek memberi kerjasama menyerahkan beg miliknya untuk diperiksa. Hal itu membuatkan suspek berang dan mula menjerit menegaskan dia tidak mencuri.
Insiden itu berlangsung selama 15 minit. Setelah puas didesak, akhirnya suspek membuka beg dan ternyata dua helai pakaian tersebut berada di dalam beg miliknya.
Bagaimanapun, suspek menafikan dia mencuri pakaian itu. Sebaliknya dia mendakwa hanya membawa pakaian tersebut untuk dicuba sebelum membuat bayaran.
Suspek kemudian menyerahkan dua helai pakaian itu dan meminta kakitangan butik mengambil pakaian yang sama tetapi warna yang lain. Selepas mengambil warna yang diminta, kakitangan butik mendapati suspek telah beredar.
Memandangkan dua pakaian itu telah dipulangkan, tiada sebarang laporan polis dibuat terhadap suspek.
Tetapi pada hari kejadian (16 Jun 2023), suspek datang semula ke butik untuk membuat onar. Suspek mengamuk di hadapan butik kerana tidak berpuas hati dengan apa yang telah berlaku.
Dia menolak rak pakaian, memijak pakaian dan menolak dua patung yang digunakan untuk memperagakan pakaian butik sehingga terjatuh. Semua tindak tanduknya disaksikan oleh pengunjung lain. Ada di antaranya mengambil kesempatan untuk merakam video dan tiada seorang pun yang berani tampil menenangkan wanita berkenaan.
Pihak butik kemudian menghubungi pihak pengawal keselamatan untuk datang membantu. Suspek ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.