Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini, saluran YouTube popular, Zack D Films, yang sering menampilkan kisah penuh emosi dan fakta mengejutkan, menyiarkan video mengenai kisah menyayat hati yang menimpa seorang wanita muda dari Amerika Syarikat.
Video tersebut mengetengahkan insiden tragis yang dialami Caitlin Jensen, seorang graduan Universiti Georgia Southern berusia 28 tahun, yang kini lumpuh selepas menjalani rawatan kiropraktik.
Menurut laporan Daily Mail pada Julai 2022, Caitlin mengalami kerosakan serius pada empat arteri di lehernya semasa rawatan tersebut, yang menyebabkan serangan jantung dan strok. Insiden ini turut membuatkan beliau kehilangan nadi selama lebih 10 minit sebelum berjaya diselamatkan.
Akibat daripada kejadian pada 16 Jun 2022 itu, Caitlin kini hanya mampu berkomunikasi melalui gerakan mata dan sebahagian kecil bahagian kiri tubuhnya.
Ibu mangsa, Darlene Jensen, berkongsi bahawa anaknya telah menunjukkan sedikit perkembangan, termasuk mampu menggerakkan kaki dan tangan kirinya serta memberikan isyarat ‘thumbs up’.
Dalam laporan LADbible 2023, Caitlin dilaporkan telah dibenarkan pulang ke rumah selepas menjalani lapan bulan rawatan intensif. Caitlin kini telah menunjukkan kemajuan luar biasa, termasuk mula mendapatkan semula pergerakan pada tangan, kaki, dan kepalanya.
Pasukan perubatan menganggap perkembangan ini sebagai sesuatu yang mengagumkan. Walaupun begitu, keluarganya masih memberi perhatian penuh terhadap proses pemulihannya.
Kisah ini bukan sahaja menyentuh hati orang ramai, malah mencetuskan perbincangan hangat mengenai risiko rawatan kiropraktik. Walaupun pakar menyatakan komplikasi seperti ini jarang berlaku, Darlene menasihatkan agar masyarakat lebih berhati-hati dan menyedari potensi risiko yang mungkin timbul.
Sumber: Zackdfilms, Daily Mail, LADbible