Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Penafian: Artikel ini disusun berdasarkan perkongsian peribadi Dzuriasikim Dzulkefli yang dimuat naik secara terbuka di akaun Facebook beliau. The Reporter tidak menambah atau mengubah sebarang fakta, dan tidak bertujuan untuk menjatuhkan reputasi mana-mana pihak.
Seorang pengguna kereta Jaecoo J7 berkongsi pengalaman mencemaskan apabila sunroof kenderaan miliknya tiba-tiba meletup ketika memandu, meskipun kereta itu masih baru. Lebih mengecewakan, tuntutan waranti ditolak dan dia diminta menggunakan pita pelekat untuk menutup lubang cermin sebelum membawa pulang keretanya.
Dzuriasikim Dzulkefli berkata insiden itu berlaku pada 16 April lalu, kira-kira jam 9.27 pagi ketika beliau dalam perjalanan ke Seremban. Sunroof kereta yang tertutup sepenuhnya dikatakan meletup secara tiba-tiba tanpa sebarang hentakan atau amaran.
“Saya dengar bunyi letupan yang sangat kuat dari atas kepala. Bila buka sunshade, saya terkejut tengok kaca sunroof berlubang besar. Kaca masih lekat sebab ada tinted, tapi serpihannya berderai,” katanya.
Menurutnya, kejadian ini sangat membimbangkan kerana boleh menjejaskan keselamatan pengguna kenderaan, lebih-lebih lagi jika berlaku ketika membawa anak kecil.
Tuntutan waranti ditolak tanpa siasatan menyeluruh
Dzuriasikim segera menghubungi Jaecoo Puchong, tempat beliau membeli kenderaan itu. Setelah membuat pemeriksaan, wakil pusat servis memberitahu waranti tidak dapat digunakan dan beliau diminta membuat tuntutan insurans sendiri.
“Dia hanya jawab ‘HQ rejected. Need to claim insurance’. Bila saya minta surat rasmi, dia bagi nota ditaip sendiri tanpa kepala surat dan tandatangan. HQ pun tak datang tengok kereta, hanya tengok gambar dari WhatsApp,” ujarnya.
“Kalau viral satu Malaysia pun you rasa orang akan percaya?”
Apabila Dzuriasikim memberitahu bahawa beliau akan berkongsi pengalaman ini dengan orang ramai, wakil jualan Jaecoo didakwa menjawab:
“Kalau you viral pun, tak guna. Tak ada orang layan. Sebab ni ada insuran.”
“Kalau you viral satu Malaysia pun you rasa orang akan percaya? Video you (dari dashcam) tak ada tunjuk bila ia pecah.”
“Mungkin last time dah kenal (kena) batu tapi tak ada creak (crack), masa tu bawa laju atau panas rejection jadi macam ni. Dia ada sebab-sebab. Yes, batu kadang-kadang bukan masa bawa kereta, parking pun boleh jadi. Ada orang gila suka rosakkan kereta pun ada.”
“That’s why you need sound to Jaecoo Malaysia too.”
“Saya tercengang!” kata Dzuriasikim.





Kata-kata itu dianggap tidak profesional, lebih-lebih lagi apabila kereta tersebut baru berusia empat bulan dengan mileage hanya 9,746km. Beliau mendakwa kereta baru bermasalah seperti ini patut diberi perhatian serius oleh pengeluar.

Kad memori hilang, diminta ‘tape’ lubang sendiri

Dzuriasikim juga mendapati kad memori dashcam di dalam keretanya hilang semasa kenderaan berada di pusat servis. Namun, sehingga kini tiada penjelasan jelas daripada pihak Jaecoo.
Lebih mengecewakan, Dzuriasikim mendakwa diminta mengambil semula keretanya kerana pusat servis tidak mempunyai ruang untuk menyimpan kenderaan tersebut. Apabila beliau bertanya bagaimana mahu memandu dengan sunroof berlubang, jawapan yang diterima ialah:
“You pandai-pandai laaa you tape ke apa-apa… kalau tidak nanti hujan air masuk, rosak elektronik pula…”
Dapat kereta gantian, kemudian diminta pulangkan semula
Setelah hampir dua minggu berurusan, Dzuriasikim akhirnya bersetuju untuk membuat tuntutan insurans sendiri dan hanya selepas itu barulah beliau diberikan kereta gantian oleh Jaecoo Puchong.
Namun pada 29 April, apabila beliau memaklumkan hasrat membawa isu ini ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), beliau mendakwa pihak Jaecoo segera meminta agar kereta gantian itu dipulangkan keesokan paginya.
“Kak kalau camtu esok 9am hantar courtesy car balik, sebab since haritu you agree untuk insurance kita provide. Since you’re saying wanna go tribunal we don’t know how long will take to settle meanwhile we can’t let you to keep the car,” tulis wakil berkenaan.
Dzuriasikim berkata beliau sangat kecewa dan berasa tertekan dengan cara isu ini dikendalikan.
“Saya cuma mahu keselamatan pengguna diutamakan. Sunroof kereta meletup bukan isu kecil, dan pengguna seperti saya tak patut dibiarkan bersendirian menanggung kos,” tegasnya.
Beliau turut menasihatkan semua pemilik kenderaan Jaecoo agar mendapatkan perlindungan insurans tambahan termasuk untuk bahagian cermin, khususnya sunroof, bagi mengelakkan beban kewangan jika berlaku kerosakan mengejut seperti ini.
Nota: The Reporter telah menghubungi Jaecoo Malaysia untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu yang dibangkitkan. Sebarang kenyataan balas atau penjelasan rasmi daripada pihak syarikat akan dikemas kini dalam artikel ini sebaik diterima.








