Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di dalam tandas sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru pada Ahad lalu, 19 Januari 2025, kira-kira jam 2.28 petang.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh, memaklumkan siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah berkaitan kejadian tersebut.
“Identiti mangsa masih disiasat, dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, untuk proses bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“PDRM menggesa orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes ini untuk tampil membantu siasatan. Mereka boleh menghubungi talian 07-5563122 atau pegawai penyiasat, Inspektor Helmy Bin Halim, di talian 012-5759953,” katanya.
Pihak polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.
Sementara itu, pihak Paradigm Mall Johor Bahru menyatakan rasa dukacita atas insiden tersebut dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Mereka juga menegaskan kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
“Kami memohon semua pihak menghormati privasi keluarga mangsa dan mengelak daripada membuat spekulasi sehingga maklumat lanjut disahkan,” menurut kenyataan pusat beli-belah berkenaan.