'Wang bantuan 1.2 juta setiap bulan, mana cukup' - Pelarian Rohingya di Indonesia, luah rasa tidak puas hati - The Reporter

‘Wang bantuan 1.2 juta setiap bulan, mana cukup’ – Pelarian Rohingya di Indonesia, luah rasa tidak puas hati

Selain Malaysia, Indonesia juga menjadi destinasi pilihan untuk pelarian Rohingya. Bulan lalu, terdapat peningkatan jumlah pelarian Rohingya di wilayah Aceh dan mereka dipercayai melarikan diri dari kem pelarian di Bangladesh.

Kehadiran pelarian Rohingya yang terlalu ramai itu mengundang protes daripada masyarakat Indonesia. Ini kerana pelarian Rohingya didakwa pengotor, tidak beradab dan tidak menghormati budaya tempatan.

Dalam satu klip video temubual yang disiarkan oleh agensi berita iNews TV menunjukkan, pelarian Rohingya di negara itu diberi tempat tinggal yang sempurna, lengkap dengan katil, televisyen dan sebagainya.

Selain itu, mereka juga diberikan wang bantuan Rp 1.2 juta (RM375) setiap bulan untuk menampung keperluan mereka.

“Keadaan tempat tinggal beberapa pelarian Rohingya di Sidoarjo. Dapat dilihat di tempat tinggal ini dilengkapi dengan ruang tamu, almari, televisyen dan bilik berserta katil,” kata wartawan berkenaan.

Namun, ketika ditanya kepada salah seorang pelarian Rohingya bernama Muhammad Suaib, yang dipercayai sudah lama berada di negara itu, dia memaklumkan jumlah wang bantuan bulanan yang diberikan itu tidak mencukupi.

“Rp 1.2 juta (RM375) tidak cukup. Tidak cukup sebab perbelanjaan untuk membeli pakaian, makanan dan minuman semuanya menggunakan wang itu,” katanya.

Jawapan Muhammad mengundang kecaman netizen Indonesia yang menganggapnya tidak bersyukur dan tidak sedar diri.

“Terasa ingin menjotos kepalanya. Sudah dibantu, lagi nak menyusahkan orang. Tak sedar diri langsung.

“Ramai lagi orang kita sendiri yang hidup masih meminta-minta dan miskin, makan nasi basi, bunuh diri kerana tiada wang bagai. Kenapa tolong mereka kalau keluarga sendiri masih ada yang kekurangan?” kata netizen.

“Memang baik kalau bantu pelarian ini. Tetapi cuba tengok dulu masyarakat kita sendiri macam mana. Ramai yang masih miskin, nak makan pun tak cukup. Sehari makan sekali sahaja. Sepatutnya bantu dulu orang kita sebelum bantu pelarian ini,” tambah netizen lain.

Tak puas hati makanan dihidangkan terlalu sedikit

Sebelum ini, media Indonesia melaporkan pelarian Rohingya yang baru tiba di Aceh mengadu tidak berpuas hati dengan bantuan makanan yang diberikan.

Dalam klip video tular, dua pelarian Rohingya menggunakan bahasa badan untuk menunjukkan bahawa makanan yang dihidangkan kepada mereka tidak cukup untuk mengenyangkan mereka.

Makanan yang dihidangkan itu adalah nasi bungkus bersama lauk sayur dan ikan. Selain itu, turut dihidangkan bersama kuih kering, wafer dan susu.

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!