'Walaupun saya keturunan Indonesia, saya berhak berpolitik & tentukan masa depan anak cucu saya' - DD Chronicle nafi dakwaan dirinya adalah PATI - The Reporter

‘Walaupun saya keturunan Indonesia, saya berhak berpolitik & tentukan masa depan anak cucu saya’ – DD Chronicle nafi dakwaan dirinya adalah PATI

DD Chronicle atau nama sebenarnya Dediy Sulaeman
Sumber gambar: Harian Metro

Pempengaruh Dd Chronicle atau nama sebenarnya, Dediy Sulaeman Ra’e, 43, membuat laporan polis berhubung dakwaan yang mengatakan dia adalah pendatang asing tanpa izin (PATI), di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, semalam.

Selain laporan polis, Dediy turut membuat aduan mengenai isu kebocoran data peribadinya di media sosial.

“Saya adalah warga Malaysia, yang mengikut Perlembagaan boleh memilih dan mengundi calon yang diinginkan. Malah boleh berkempen seperti yang lain.

“Malaysia adalah negara demokrasi dan saya merasakan tidak menjadi satu kesalahan untuk saya menyokong atau memilih wadah politik tertentu.

Walaupun saya keturunan Indonesia, namun saya lahir di sini. Jadi, saya berhak menentukan masa depan anak cucu saya.

“Saya dilahirkan dan dibesarkan di negara tercinta ini, selain mendapat pendidikan di sini. Jadi, mana datangnya dakwaan yang mengatakan saya orang luar?

Biarpun ibu bapa saya pemegang kad pengenalan merah, tapi Allah takdirkan saya lahir di sini.

“Dakwaan yang mengatakan saya seorang warga asing adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal waras,” tegasnya.

Emosi isteri & anak-anak terjejas

Dediy yang sebelum ini dikenali sebagai pempengaruh yang gemar menerbitkan video parodi isu semasa, mula menjadi perhatian apabila dia dilihat hadir berkempen untuk Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Sejak daripada itu, netizen mula menyiasat latar belakangnya dan timbul dakwaan yang mengatakan Dediy adalah lelaki warga asing memiliki kad pengenalan merah.

Menurut Dediy, dia sebenarnya tidak terkesan dengan dakwaan tersebut yang menular di media sosial. Namun disebabkan isteri dan anak-anaknya berasa kurang senang dan mengalami gangguan emosi, membuatkan dia terpaksa tampil membuat laporan polis.

‘Data peribadi Dediy dipercayai didedahkan oleh SPR’ – Asiah

Dalam pada itu, peguamnya, Asiah Abd Jalil berkata, pihaknya memandang serius isu kebocoran data anak guamnya di media sosial yang dipercayai didedahkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Data peribadi milik anak guam saya telah diambil dan dimanipulasi termasuk melibatkan pendaftaran Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) tanpa pengetahuannya.

“Perkara ini sangat serius di mana ia daripada awalnya bermula dari buli siber sehingga melarat kepada isu keselamatan yang membahayakan anak guam serta keluarga,” katanya.

Sementara itu, Dediy berharap dengan laporan polis yang dibuat itu dapat menghentikan segala tuduhan liar di media sosial.

Sumber: Kosmo! Online, Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!