Vivy Yusof & Fadza Anuar akui kegagalan Fashion Valet, mohon maaf atas kerugian Khazanah, PNB - The Reporter

Vivy Yusof & Fadza Anuar akui kegagalan Fashion Valet, mohon maaf atas kerugian Khazanah, PNB

Kegagalan Fashion Valet

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Syarikat Fashion Valet yang diasaskan oleh Vivy Yusof dan Fadza Anuar, menjadi perhatian ramai selepas media melaporkan kerugian besar yang dialami Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) susulan pelaburan mereka dalam syarikat itu. Susulan isu ini, kedua-dua pengasas tampil memberi penjelasan dan memohon maaf atas kegagalan yang berlaku.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan melalui Instagram sebentar tadi, pengasas Fashion Valet mengakui kesilapan dalam pengurusan syarikat yang menyebabkan pelabur menanggung kerugian besar.

Perancangan tidak berjaya

“Sebagai dua individu yang bertanggungjawab menguruskan syarikat, kami sedar bahawa tanggungjawab ini berada di bahu kami, dan hakikatnya, kami telah mengecewakan para pelabur kami,” jelas mereka.

Mereka juga meluahkan kekecewaan dan rasa kesal kerana keputusan yang diambil tidak membuahkan hasil seperti yang dirancang.

Menurut penjelasan mereka, kegagalan ini berpunca daripada strategi pengembangan yang terlalu agresif, di mana Fashion Valet meluaskan perniagaan secara besar-besaran melalui pelaburan dalam teknologi dan pembukaan rangkaian kedai runcit tanpa persiapan rapi untuk menghadapi cabaran yang tidak dijangka.

Apabila pandemik melanda, syarikat tidak bersedia sepenuhnya menghadapi tekanan ekonomi yang kritikal, menyebabkan usaha pengurangan kos, termasuk penutupan platform e-dagang, tidak mencukupi untuk mengatasi situasi tersebut.

“Kami telah sedaya upaya cuba mengurangkan kos, termasuk menutup platform e-dagang kami, namun keadaan telah menjadi sangat kritikal,” jelas mereka.

Undur diri

Dalam kenyataan itu juga, kedua-dua pengasas mengakui terdapat banyak perkara yang ingin mereka ubah jika diberi peluang, termasuk mempertimbangkan risiko dengan lebih berhati-hati dalam merancang pengembangan syarikat. Mereka mengakui sikap optimis untuk mengekalkan imej positif mungkin kurang sesuai dalam situasi mencabar seperti ini, yang akhirnya mendedahkan kelemahan perniagaan.

“Kami amat kesal atas kontroversi yang menjejaskan Khazanah dan PNB. Mereka sentiasa bertindak secara profesional dan demi kepentingan terbaik organisasi masing-masing. Kami berharap kekecewaan ini tidak menjadi penghalang untuk mereka terus menyokong usahawan tempatan lain,” tambah mereka.

Pengasas Fashion Valet turut mengumumkan bahawa mereka akan berundur daripada jawatan dalam syarikat bagi memastikan isu ini tidak terus memberi kesan terhadap proses pemulihan syarikat.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Khazanah Nasional dan PNB mengalami kerugian sebanyak RM43.9 juta hasil daripada pelaburan dalam Fashion Valet, yang menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!