Gara-gara bertindak agresif dan menyerang pasangan suami isteri dalam kes buli jalan raya di bulatan Bayan Indah berhampiran Queensbay Mall, Balik Pulau, polis telah menahan seorang operator kilang.
Terdahulu, video kejadian yang dirakam oleh mangsa itu dimuat naik ke Facebook dan viral dengan pantas di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang berang dengan tindakan lelaki terbabit.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, suspek yang berusia 30 tahun itu bagaimanapun telah ditahan di Teluk Kumbar pada jam 12.15 tengah hari tadi.
“Suspek dipercayai mendekati keluarga yang memandu kereta di hadapannya, selepas membunyikan hon secara berulang kali.
“Dia bertindak memintas dan berhenti di hadapan kenderaan mangsa. Suspek kemudian memarahi mangsa sebelum menyepak cermin sisi kenderaan dan merampas telefon bimbit milik mangsa serta isterinya.
“Dia juga menarik rambut mangsa, sejurus pasangan suami isteri terbabit meminta telefon bimbit mereka dipulangkan, selain wanita berkenaan dilaporkan mengalami bengkak di bahagian jari ekoran kejadian itu,” katanya.
Bagaimanapun, suspek telah memulang telefon bimbit pasangan terbabit selepas orang ramai tampil meleraikan kedua-dua pihak.
Ketika disiasat, suspek mengaku berbuat demikian. Suspek dijangka diremah di Mahkamah Balik Pulau, esok, untuk membantu siasatan.
Berdasarkan video viral itu, suspek berkata kereta mangsa telah menghalang perjalanannya dari melawat isterinya di hospital dan ketika itu mereka berada dalam kecemasan.
Mangsa bagaimanapun menjelaskan mereka tidak tahu menahu tentang hal itu. Malangnya suspek terus menerus memarahi dan menyerang mereka.
Semalam, isteri pemandu berkenaan, Nana Tan, memuat naik video kejadian itu di Facebooknya dan menjelaskan mereka ketika itu dalam perjalanan ke sebuah pusat beli-belah.
Menurut Nana, suaminya memandu secara perlahan untuk keselamatan dua anak mereka yang turut dibawa bersama.
“Secara tiba-tiba, sebuah kereta Proton Saga membunyikan hon terhadap kami dan membuka tingkapnya dan memukul kereta kami.
“Berang dengan tindakannya, saya memarahi dia. Lelaki yang berlagak gangster ini memberhentikan keretanya di hadapan kami dan keluar sebelum menendang cermin sisi kereta kami dengan kakinya, selain merampas telefon bimbit saya dan suami.
“Saya menjerit meminta dia memulangkan semula telefon kami atau kami akan menghubungi polis. Sebaliknya dia memukul kepala saya dan jari jemari saya turut tercedera.
“Kami kemudian menghubungi polis. Selepas menunggu setengah jam kemudian, polis masih belum kunjung tiba, lalu kami pergi ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.