Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengarahkan siasatan segera dijalankan susulan penularan satu video yang dipercayai melibatkan ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan yang didakwa meminta wang perlindungan dari sebuah pusat urut di Wangsa Maju.
Menurut beliau, satu laporan polis telah dibuat. Tindakan itu diambil bagi memastikan kesahihan dakwaan yang dikaitkan dengan seorang ahli (MPP) dapat dikenal pasti dengan segera.
Tegas Hannah, sekiranya dakwaan berkenaan terbukti benar, tindakan pemecatan serta-merta akan dikenakan terhadap individu terbabit tanpa sebarang kompromi. Beliau menegaskan pendirian kerajaan adalah jelas, iaitu tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk amalan wang perlindungan atau peranan orang tengah.
“Jika dakwaan ini terbukti benar, ahli MPP berkenaan akan dipecat serta-merta tanpa sebarang kompromi.
“Pendirian kita jelas: tiada toleransi terhadap sebarang bentuk wang perlindungan atau amalan orang tengah,” ujarnya.
Baca juga:
- Muhyiddin desak kerajaan aktifkan MTEN seperti krisis tahun 1997, COVID-19
- 18 ‘ulat foto’ ditahan kes pukul dua lelaki di KLCC
- ‘Kami tak pernah lupakan pendirian sokongan Malaysia’ – Kedutaan Iran
Dalam pada itu, orang ramai turut digesa untuk tampil menyalurkan maklumat atau membuat aduan kepada Unit Integriti Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat sebarang salah laku.
Terdahulu, tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan dua lelaki memperkenalkan diri sebagai ahli MPP meminta wang dari sebuah pusat urut.








