'Lari Mi! Mak tanggung!' - Remaja kantoi curi sos & mayonis, ditahan polis | The Reporter

‘Lari Mi! Mak tanggung!’ – Remaja kantoi curi sos & mayonis, ditahan polis

Remaja ditahan polis selepas kantoi curi barangan di pasar raya
“Lari Mi! Mak tanggung!” – Remaja kantoi curi sos dan mayonis RM41, polis sahkan suspek telah ditahan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan polis selepas mencuri dua paket sos lada hitam dan dua paket mayonis bernilai RM41 dari sebuah pasar raya di Jalan Serting Utama 6, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata kejadian berlaku sekitar jam 7 malam, Jumaat lalu. Remaja itu ditahan oleh pengawal keselamatan selepas dikesan kerap keluar masuk pasar raya sambil membawa beg sandang dalam keadaan mencurigakan.

Menurut Norhisham, pasangan suami isteri yang mengaku sebagai ibu bapa suspek tiba di lokasi dan cuba menghalang kakitangan pasar raya daripada menahan anak mereka. Berlaku ketegangan apabila mereka didakwa meminta remaja itu dilepaskan dan enggan memberikan kerjasama.

Baca juga:

Bapa beri alasan anak masih sekolah

Video kejadian yang dirakam kakitangan pasar raya menunjukkan remaja itu diminta menunjukkan kandungan beg, sebelum beberapa barangan yang dicuri dikeluarkan. Ketika kakitangan menyatakan akan membuat laporan polis, ibu suspek merayu agar anaknya dilepaskan, manakala bapanya turut menawarkan untuk membayar ganti rugi.

Namun, pihak pasar raya tetap bertegas untuk menahan remaja itu kerana dia dipercayai pernah beberapa kali mencuri sebelum ini. Dalam suasana tegang itu, ibu suspek dilihat menjerit meminta anaknya melarikan diri dan mendakwa sanggup bertanggungjawab.

Remaja terbabit sempat ditahan seketika oleh pengawal keselamatan, namun berjaya melepaskan diri dengan bantuan kedua ibu bapanya. Mereka kemudiannya melarikan menaiki kenderaan jenis Toyota Avanza.

Suspek dibebas dengan jaminan polis

Remaja itu akhirnya berjaya ditahan semula oleh polis pada jam 1 tengah hari Ahad. Menurut Norhisham, siasatan mendapati suspek masih bersekolah dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil.

Kertas siasatan kini dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Sumber: QQQ Boy, Harian Metro

Related Posts