Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki berusia 26 tahun di Wuhan naik berat badan 102 kilogram secara mendadak dalam tempoh lima bulan ketika tinggal di rumah bagi mengelak jangkitan virus Covid-19.
Zhou, terpaksa dikejarkan ke hospital dengan menggunakan ambulans pada 1 Jun lalu selepas jatuh sakit berikutan peningkatan berat badannya secara mendadak. Zhou kini mempunyai berat 279 kilogram dan dilaporkan sebagai lelaki terberat di Wuhan.
Zhou yang bekerja di sebuah kafe siber mula berkurung di rumah setelah pihak berkuasa mengenakan arahan perintah berkurung pada akhir Januari 2020.
Meskipun pihak berkuasa telah menarik balik arahan tersebut pada awal April lalu, Zhou masih terus berkurung di rumah. Ahli keluarganya berkata, Zhou mengalami kesukaran untuk bergerak disebabkan berat badannya.
Menurut pihak hospital, Zhou mengalami masalah untuk menurunkan berat badan walaupun dia telah mencuba pelbagai cara untuk menurunkan berat badannya. Pada akhir tahun lalu, Zhou mempunyai berat badan 177 kilogram.
Dr Li Zhen berkata, dia menerima panggilan telefon dari Zhou pada 31 Mei yang meminta pertolongannya di mana Zhou mengatakan dia tidak dapat tidur selama 48 jam. Ketika pasukan perubatan tiba di rumahnya keesokan hari, Zhou berada dalam keadaan lemah dan hampir tidak dapat bercakap.
Zhou dikejarkan ke unit rawatan rapi dan terpaksa dibawa ke katil dengan bantuan enam anggota keselamatan serta empat petugas perubatan. Pemeriksaan mendapati, Zhou mengalami kegagalan jantung dan gangguan pernafasan.
Setelah diberi rawatan selama sembilan hari, akhirnya keadaan Zhou kembali stabil dan dipindahkan ke wad biasa.
Zhou akan menjalani pembedahan penurunan berat badan dengan membuang sebahagian perutnya. Namun begitu, dia perlu menurunkan berat badannya sebanyak 24 kilogram dalam tempoh tiga bulan untuk mengurangkan risiko pembedahan tersebut.
Kisah Zhou itu kemudian dikongsikan oleh pihak hospital melalui saluran rasmi mereka tetapi tidak menjelaskan mengapa berat badan Zhou naik secara mendadak.