Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Rakaman video seorang murid perempuan ditengking dan dituding jari oleh beberapa guru di sebuah sekolah rendah menjadi tular di media sosial, mencetuskan reaksi pelbagai pihak termasuk dalam kalangan warga pendidik sendiri.
Semuanya bermula dengan video berdurasi seminit yang memperlihatkan seorang murid perempuan berusia sembilan tahun menangis teresak-esak sambil dimarahi oleh beberapa guru di kantin sekolah. Dalam rakaman tersebut, murid itu diarahkan untuk mengaku bahawa “cikgu tak buat” dan diberi amaran agar tidak menipu kerana dikatakan ibunya pernah menyerang guru.
Tindakan merekod insiden itu dan menghantarnya kepada ibu murid terbabit menimbulkan kemarahan netizen yang menyifatkannya sebagai tidak wajar dan mencalarkan emosi kanak-kanak. Peristiwa singkat itu kini menjadi topik perdebatan tentang profesionalisme dalam kalangan guru dan cara menegur murid secara berhemah.
Tiga kesalahan utama dipersoal
Guru dan aktivis pendidikan, Mohd Fadli Salleh tampil mengulas isu berkenaan menerusi satu hantaran panjang di Facebook. Beliau menyifatkan tindakan guru dalam video itu sebagai tidak profesional dan menyenaraikan tiga kesalahan utama iaitu memarahi murid di tempat terbuka, melibatkan lebih daripada seorang guru dalam menegur murid serta merakam dan menghantar video negatif tanpa kebenaran.
“Teguran kepada murid perlu dibuat dengan penuh hikmah dan hormat. Apatah lagi kanak-kanak ini baru berusia sembilan tahun. Mereka belum matang untuk menanggung beban emosi begitu berat,” kata Fadli.
‘Saya dah tak suka BM’
Apa yang lebih meresahkan ialah kesan psikologi terhadap murid berkenaan. Menurut Fadli, murid itu yang lebih dikenali sebagai Lisa, mengalami trauma mendalam hingga tidak hadir ke sekolah selama hampir sebulan. Malah, Lisa dikatakan sudah hilang minat terhadap subjek Bahasa Melayu selepas kejadian itu.
“Tak apalah cikgu marah, tapi tangan tu,” demikian luahan Lisa yang menyentuh hati ramai, merujuk kepada cara guru menuding jari berkali-kali ke arah mukanya. Fadli menjelaskan bahawa murid ini sebelum ini menunjukkan prestasi cemerlang apabila menerima Anugerah Lonjakan Saujana namun insiden tersebut telah memadamkan semangatnya.
Kata Lisa lagi, “saya dah tak suka BM, dulu suka.” Bagi Fadli, ini adalah contoh nyata bagaimana minat dan motivasi murid boleh ‘dibunuh’ apabila guru gagal menunjukkan empati dan pendekatan yang betul dalam mendidik.
Hormat perlu dibina
Fadli turut menyeru agar profesion perguruan tidak dijadikan medan kuasa untuk menekan murid. Menurutnya, hormat kepada guru tidak boleh dipaksa, sebaliknya perlu dibina melalui akhlak dan tindakan yang menunjukkan kasih sayang dan tanggungjawab.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun masih belum ada kenyataan rasmi daripada pihak sekolah atau guru yang terlibat, tindakan ibu murid menukar sekolah anaknya adalah langkah tepat bagi menyelamatkan emosi dan kesihatan mental si anak.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa kisah tular seperti ini sering menjadi pencetus kepada ledakan komen negatif terhadap profesion perguruan khususnya daripada individu yang pernah mengalami pengalaman serupa.
Insiden ini seharusnya menjadi pengajaran penting kepada semua pihak terutamanya kepada guru, ibu bapa dan pentadbiran sekolah agar sentiasa meletakkan kesejahteraan murid sebagai keutamaan.
Justeru, beliau menyeru agar guru-guru sentiasa menjaga profesionalisme demi memelihara maruah dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi pendidikan.