Kanak-kanak berusia lingkungan 3 tahun bermain keretanya di sebatang jalan yang sibuk |
CHINA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan 3 tahun, ‘memandu’ keretanya di sebatang jalan raya yang sibuk, cetus rasa cemas netizen di media sosial, lapor Shanghaiist.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kanak-kanak berkenaan bermain kereta mainannya secara melawan arus di sebatang jalan raya yang sedang sibuk pada waktu itu di bandar Lishui, Zhejiang, pada jam 8 pagi.
Kereta dan juga motosikal dilihat hanya memandang karenah kanak-kanak itu tanpa memberhentikan kenderaan mereka untuk membantu.
Mujur seorang polis bertindak pantas menyelamatkan kanak-kanak itu dan membawanya ke tepi jalan.
“Kanak-kanak itu dalam bahaya. Jadi saya terus mengambilnya dan membawa dia ke bahu jalan.
“Menurut kanak-kanak itu, dia terpisah dari ibunya dan sedang berusaha mencarinya,” kata Wu Feng.
Setelah berjaya mengesan ibunya, kanak-kanak itu diserahkan kembali kepada wanita berkenaan. Tidak dinyatakan bagaimana kanak-kanak itu boleh terpisah dari ibunya. – The Reporter