Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sepasukan penyelidik di China yang diketuai oleh pakar virologi Shi Zhengli, yang terkenal dengan kajian mengenai virus kelawar, baru-baru ini menemui sejenis virus coronavirus baharu yang dinamakan HKU5-CoV-2. Penemuan ini menimbulkan kebimbangan kerana virus ini berpotensi untuk menular kepada manusia, sama seperti virus yang menyebabkan Covid-19.
HKU5-CoV-2 dipercayai berkait rapat dengan MERS, satu virus yang lebih berbahaya dan boleh membunuh ramai orang. Virus baharu ini mempunyai ciri yang sama dengan virus Covid-19, iaitu boleh memasuki sel manusia dengan cara yang sama.
Penyelidik yang dibiayai oleh kerajaan Beijing berkata, virus ini berisiko tinggi untuk merebak kepada manusia, sama ada secara langsung atau melalui haiwan yang menjadi perantara.
Virus ini tergolong dalam keluarga merbecovirus, yang juga pernah ditemui dalam haiwan seperti musang dan tenggiling, yang dipercayai menjadi penghubung antara kelawar dan manusia semasa penyebaran Covid-19. Penemuan ini menunjukkan virus HKU5-CoV-2 sering berpindah antara kelawar dan haiwan lain, meningkatkan risiko penularan kepada manusia.
Walaupun virus ini dilihat mempunyai potensi untuk menjangkiti manusia, penyelidik berkata kajian lanjut perlu dilakukan untuk melihat sejauh mana ia benar-benar boleh menular. Penemuan ini turut menambah kebimbangan selepas Covid-19 yang telah menyebabkan banyak kematian di seluruh dunia.
Sementara itu, satu laporan penyiasatan dari Amerika Syarikat juga mendakwa Covid-19 mungkin berpunca daripada kebocoran makmal di Wuhan. Walaupun begitu, pasukan di Wuhan masih meneruskan penyelidikan mengenai virus-virus baharu, dan ramai pakar berpendapat kajian ini berisiko tinggi kerana ia boleh mencetuskan lebih banyak ancaman. – Agensi








