‘Drama tak bermoral’ – Ustazah Asma’ Harun tegur Bisik Asmara menjelang Ramadan | The Reporter

‘Drama tak bermoral’ – Ustazah Asma’ Harun tegur Bisik Asmara menjelang Ramadan

Ustazah Asma’ Harun tegur Bisik Asmara menjelang Ramadan, isu moral hiburan jadi perhatian.
Ustazah Asma’ Harun tegur Bisik Asmara apabila mempersoalkan mesej cerita dan batas pergaulan dalam drama tempatan menjelang Ramadan.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kritikan pedas pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun terhadap drama tempatan Bisik Asmara mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen, khususnya apabila ia disuarakan ketika umat Islam berada di ambang Ramadan.

Dalam satu hantaran di media sosial, beliau menyifatkan kandungan drama tersebut sebagai tidak bermoral dan menjurus kepada unsur ‘soft porn’.

“Drama tak bermoral dan ala ala ‘soft porn’ seperti ini makin menjadi-jadi, lagi bila kita sudah di ambang Ramadan. Ia amat memalukan dan meloyakan,” tulisnya.

Menurut beliau, walaupun tidak mengikuti drama itu secara penuh, sedutan pendek yang sering muncul di media sosial sudah cukup menimbulkan rasa kurang senang.

“Saya tak tengok drama ini, cuma sedutan pendeknya asyik melintas je di medsos, dengan dialog dan adegan ke arah layan bayangan ‘Bisikan Hawa Nafsu Asmara’,” katanya.

Baca juga:

Persoal mesej sebenar jalan cerita

Ustazah Asma’ turut mempersoalkan mesej sebenar yang cuba disampaikan melalui penceritaan drama berkenaan.

“Sebenarnya apa mesej baik nak disampaikan? Nak cerita bagaimana curang dan sondol itu bermula? Nak didik masyarakat supaya jangan curang? Atau nak bagi amaran kepada penyondol?” soalnya.

Beliau juga membangkitkan kemungkinan pengakhiran drama itu sekadar memaparkan penyesalan watak sebagai alasan untuk membenarkan paparan adegan kontroversi.

“Atau lepas ini dua-dua menyesal sebab ada kesudahan yang beri pengajaran? Jadi penonton kena sabar dulu? Jangan judge, jangan buat kesimpulan awal?” tambahnya.

Menurut beliau, pendekatan sedemikian tidak wajar dijadikan alasan untuk memaparkan kandungan yang bercanggah dengan nilai Islam.

Tegur pelakon dan penerbit muslim

Dalam masa sama, Ustazah Asma’ mengingatkan penggiat seni Muslim supaya lebih peka terhadap hukum hakam agama, khususnya dalam soal batas pergaulan.

“Penerbit, pengarah dan para pelakon yang Muslim, yang dah faham hukum hakam bahawa haram pegang, sentuh, peluk walau berlapik antara ajnabi, apatah lagi tanpa berlapik,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa dialog dan adegan yang menjurus kepada asmara terlarang tetap tergolong dalam perbuatan maksiat.

“Semua ayat-ayat ke arah asmara haram ini semuanya adalah maksiat dan dosa,” katanya.

Tegas beliau, niat yang baik tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan perbuatan yang salah.

“Apapun matlamat yang baik, tidak menghalalkan cara yang haram,” ujarnya.

Kenyataan tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen, dengan ramai menyuarakan sokongan terhadap pendirian beliau serta menyatakan kebimbangan terhadap hala tuju kandungan drama tempatan masa kini.

Sumber: FB Ustazah Asma’ Harun

Related Posts