Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Penduduk Yogyakarta memilih cara luar biasa meraikan ulang tahun Hari Kemerdekaan Indonesia ke-80 dengan menganjurkan pertandingan mengelamun. Berbeza daripada acara tradisi seperti panjat pinang atau lumba guni, pertandingan ini berjaya menarik ratusan peserta dari pelbagai bandar termasuk Jakarta, Solo dan Semarang.
Program anjuran Lokanusa dengan kerjasama Tamasya Karsa serta Life at Kotagede ini mendapat sambutan hangat kerana dianggap sebagai ruang “rehat sejenak” daripada tekanan hidup seharian.
Inspirasi dari Jepun
Penganjur, Primas Tri Jati, berkata idea pertandingan ini diilhamkan daripada acara serupa yang pernah dianjurkan di Jepun beberapa tahun lalu. Tiga kategori diperkenalkan iaitu Ekspresi Paling Menarik, Paling Lama Bertahan dan Terpaling Bergaya.
Walaupun tidak menggunakan peralatan khas seperti di Jepun, penilaian dibuat secara manual oleh panel juri terdiri daripada penggiat gaya hidup perlahan (slow living) dan ahli psikologi.
Baca juga:
- Video LEGO karya Mahdi Hemmat curi perhatian dunia, bawa naratif konflik semasa
- Pekerja ditahan, didakwa bakar gudang di Ontario, California
- Tujuh anjing ‘hilang’ jadi tular, jalan lebih 17km pulang ke rumah
Mengelamun bukan malas, tetapi terapi
Primas menjelaskan, pertandingan ini membawa mesej mengelamun bukan tanda kemalasan, sebaliknya cara untuk menyembuhkan diri.
“Kita mahu menyediakan ruang. Mengelamun, berehat seketika dan tidak melakukan apa-apa itu tidak salah. Berhenti sebentar daripada rutin bukan kelemahan, tetapi sebahagian daripada menjaga kesedaran,” katanya.
Penganjur pada awalnya hanya menyasarkan 20 peserta, namun penyertaan meningkat hingga 120 orang. Ini menunjukkan ramai anak muda mempunyai keinginan untuk berehat daripada kesibukan.
Peserta: Lega daripada krisis hidup
Seorang peserta, Alfina Tri (25) dari Jakarta, berkata beliau tertarik menyertai acara ini kerana sedang melalui krisis suku abad (quarter life crisis).
“Saya sangat penat pada usia 25 tahun. Bila ada acara ini, saya rasa ia peluang untuk melepaskan tekanan,” katanya yang turut berseloroh bahawa mengelamun sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya:
“Selalu juga mengelamun masa kerja. Fikir tentang kerja, keluarga, pasangan, gaji di Jogja dan bila agaknya saya boleh keluar dari kota ini,” ujarnya.
Melihat sambutan yang luar biasa, penganjur bercadang menganjurkan pertandingan mengelamun di lokasi berbeza supaya pengalaman itu dapat dinikmati dalam suasana lebih santai.
Sumber: Panen Talks








