Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan mengumumkan U Mobile Sdn Bhd telah dipilih untuk melaksanakan Rangkaian 5G Kedua di Malaysia dalam usaha memaksimumkan potensi teknologi 5G untuk manfaat rakyat, industri, dan negara.
Bagaimanapun, pemilihan U Mobile berbanding syarikat pengendali telekomunikasi yang lain telah mengundang pelbagai perspektif.
Susulan itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berkata, pemilihan itu berdasarkan keputusan dan penilaian yang dibuat MCMC secara bebas tanpa pengaruh daripada menteri atau timbalan menteri.
“Saya nak betulkan salah guna perkataan dalam soalan, MCMC bukan beri lesen tapi peruntukan spektrum dan bukan kontrak tidak melibatkan dana awam atau dana kerajaan.
“Pihak MCMC secara bebas, Menteri tidak terlibat, timbalan menteri tidak terlibat dalam sebarang proses penilaian ini. Maka mereka meneliti dan memastikan isu pegangan saham tidak lebih 49 peratus pegangan asing (yang) telah dipenuhi.
“U Mobile juga memaklumkan pegangan asing akan dikurangkan. Jadi sebagai aspek sama ada pegangan asing atau tempatan tidak melanggar isu-isu atau syarat bagi keputusan yang telah dibuat,” katanya.
Prestasi yang baik
Dalam pada itu, Fahmi berkata U Mobile telah memberi komitmen untuk mengurangkan pegangan ekuiti asing kepada 20 peratus bagi memastikan kawalan yang lebih besar oleh rakyat Malaysia dan mengundang penyertaan daripada pelabur selain mempunyai rekod prestasi yang baik selama lebih 17 tahun.
“U Mobile juga mempunyai rekod prestasi selama lebih daripada 17 tahun dan berada dalam kedudukan yang baik untuk pelaksanaan rangkaian 5G kedua Malaysia dan pernah dinamakan sebagai ‘Syarikat Perkhidmatan Mudah Alih Malaysia Terbaik’ oleh Frost & Sullivan sebanyak enam kali.
“Ini termasuk faktor sumbangan kepada projek Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) seperti Jendela Fasa 1 dan projek penaiktarafan 4G, yang selaras dengan komitmen MCMC untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan kecemerlangan perkhidmatan,” jelasnya.
Sumber: Malaysia Gazette