Mahathir mahu jadi penasihat, bukan PM
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tun Dr Mahathir Mohamad menolak sebarang kemungkinan untuk kembali menerajui negara sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga, sebaliknya menyatakan kesediaan membantu sebagai penasihat sekiranya Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negara.
Dalam ucapannya sempena Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Suka Menanti, Kedah pada malam Rabu (17 Julai), Mahathir yang kini berusia 100 tahun berkata, faktor usia membataskannya untuk berada di barisan hadapan, namun pengalamannya selama lebih lapan dekad dalam dunia politik masih boleh dimanfaatkan.
“Saya bukan nak ambil tempat orang muda. Saya dah dua kali jadi Perdana Menteri, cukuplah. Tapi kalau boleh, saya nak beri sedikit nasihat. Saya pernah pimpin negara selama 24 tahun,” katanya sambil disambut sorakan hadirin.
Majlis berkenaan turut dihadiri tokoh-tokoh utama PN seperti Tan Sri Abdul Hadi Awang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Negara kita kaya, tapi rakyat miskin. Kenapa?”
Dalam nada yang lebih bersifat muhasabah, Dr Mahathir melontarkan persoalan tentang ke mana hilangnya hasil kekayaan negara apabila kemiskinan masih berlarutan.
“Malaysia ini negara yang kaya. Tapi kalau pemimpin tak tahu urus aset, rakyat tetap miskin. Kalau kita tukar kerajaan kepada yang sanggup dengar nasihat, saya yakin masalah rakyat boleh diselesaikan.”
Beliau turut menggesa agar tumpuan kerajaan akan datang memberi keutamaan kepada usaha membasmi kemiskinan, bukan hanya retorik politik.
“Makan gaji tak boleh kaya. Melayu kena mula berniaga”
Mahathir turut memberi peringatan kepada orang Melayu agar tidak terlalu bergantung kepada kerja makan gaji, sebaliknya mula meneroka dunia perniagaan dan keusahawanan.
“Saya nak tanya, kenapa orang Melayu masih miskin? Sebab tak berniaga. Makan gaji sampai pencen pun belum tentu boleh hantar anak ke universiti.”
Katanya lagi, beliau telah melihat sendiri bagaimana ramai usahawan Melayu mula menunjukkan potensi besar termasuk dalam sektor teknologi maklumat.
Himpunan pada 17 Julai itu dijadikan sebagai pemanas badan menjelang satu lagi perhimpunan yang lebih besar di ibu negara pada 26 Julai ini dengan mesej utama mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan.
Sumber: Sinar Harian








