Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis Melaka telah mengambil keterangan seorang pesara kerajaan berusia 59 tahun susulan penularan video sebuah kenderaan pacuan empat roda yang memaparkan pelekat tulisan Hebrew, baru-baru ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan mendapati lelaki itu mengaku menempah pelekat berkenaan di sebuah kedai di Selangor kira-kira 13 tahun lalu.
Menurutnya, pesara itu menjelaskan tulisan Hebrew tersebut diubah suai daripada frasa “Israel Betainu” (Israel Rumahku) kepada “Malizia Beiteinu” (Malaysia Rumahku) kerana minat terhadap pelbagai tulisan asing termasuk Greek dan Rusia.
“Walaupun keterangan sudah diambil, siasatan masih diteruskan termasuk mendapatkan pandangan pakar bahasa bagi memastikan tiada unsur mencurigakan,” katanya.
Dzulkhairi turut memaklumkan bahawa pesara tersebut telah membuat laporan polis selepas kenderaannya tular, memandangkan kenderaan itu sering digunakan oleh adiknya.
Baca juga:
- Tulisan Hebrew: Pemilik dakwa hanya minat tulisan asing
- Parti Hati gesa kerajaan larang hidang daging lembu di majlis rasmi
- PU Rahmat mohon maaf, terlanjur bergurau berlebihan
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat provokasi atau ulasan melampau di media sosial berhubung isu itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi.
Terdahulu, video tular memaparkan kenderaan Isuzu yang dilekatkan tulisan Hebrew bermaksud “Malaysia rumah kami” mencetuskan kebimbangan dan kemarahan netizen.
Pegawai Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Hairul Amin Madon, turut membuat laporan polis berhubung perkara itu setelah mendapati frasa tersebut boleh disalah tafsir sebagai mesej provokatif, terutama ketika isu Gaza masih menjadi perhatian dunia.
Sumber: Sinar Harian/ Nor Farhana Yaacob