Tular kisah gendong isteri sakit, anak Pak Cik Ah Yauddin terima bantuan MARA sambung belajar | The Reporter

Tular kisah gendong isteri sakit, anak Pak Cik Ah Yauddin terima bantuan MARA sambung belajar

Pak Cik Ah Yauddin menerima kunjungan Dr Asyraf Wajdi.
Gambar: Facebook Dr Asyraf Wajdi

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kisah menyayat hati seorang warga emas yang saban hari menggendong isterinya yang lumpuh akibat strok untuk naik ke rumah mereka di tingkat empat sebuah flat kos rendah tanpa lif, mengundang perhatian ramai di media sosial baru-baru ini.

Warga emas berkenaan, dikenali sebagai Pak Cik Ah Yauddin, bukan sahaja berdepan cabaran menjaga isterinya yang terlantar, malah turut menghidap penyakit buah pinggang tahap empat. Lebih mengharukan, beliau tetap tabah berniaga air balang di Pasar Malam Pantai Dalam setiap minggu demi mencari rezeki.

Menerusi perkongsian di laman sosial rasmi, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan beliau menerima banyak tag mengenai kisah keluarga Pak Cik Ah Yauddin.

“Beberapa hari lalu ramai yang tag saya di media sosial perihal keluarga En Ah Yauddin yang berniaga air balang di Pasar Malam Lembah Pantai.

“Kisah yang cukup menyayat hati bagaimana kecekalan seorang suami sanggup menggendong isteri yang sakit akibat strok dari kediamannya di tingkat 4 di Meru setiap Sabtu untuk dibawa berniaga di Pasar Malam Pantai Dalam,” katanya.

Baca juga:
Ziarah dan Bantuan MARA

Dr Asyraf hadir sendiri menziarahi keluarga tersebut bersama pasukan doktor dari rangkaian klinik USAHAWAN MARA iaitu UnI Klinik dan UnI Farmasi bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap Ah Yauddin dan isterinya.

Dalam lawatan itu juga, perhatian turut diberikan kepada anak perempuan pasangan ini, Siti Nur Aliah, 21 tahun, yang menyuarakan hasrat untuk belajar tetapi dibayangi tanggungjawab menjaga ibunya.

“Saya nak sangat belajar tapi siapa yang nak jaga mak yang sakit dan bantu ayah berniaga?” luah Aliah dalam keadaan penuh dilema.

Melihat potensi dan semangat anak muda itu, MARA mengambil inisiatif menawarkan tempat kepada Aliah untuk menyambung pengajian dalam bidang Konfeksioneri dan Bakeri di GiatMARA berhampiran.

Geran Perniagaan dan Latihan Keusahawanan

Selain peluang pendidikan, Aliah turut ditawarkan bantuan keusahawanan berupa Geran Perniagaan bernilai RM6,000 dari Kementerian Desa dan Wilayah, yang merangkumi mesin serta peralatan membuat roti dan kek.

“MARA juga akan membantu menawarkan kursus jangka pendek untuk mempersiapkan Aliah sebagai usahawan digital yang mampu memanfaatkan platform media sosial seperti TikTok untuk berniaga,” jelas Dr Asyraf lagi.

Tambahnya, MARA percaya bahawa perubahan hidup bukan bergantung semata-mata kepada bantuan atau sumbangan, sebaliknya memerlukan ilmu dan kemahiran.

“Saya percaya hanya ILMU dan KEMAHIRAN sahaja boleh merubah kehidupan. Tidak selamanya harus bergantung kepada sumbangan orang ramai ataupun zakat.

“Sebab itulah MARA lebih terdorong untuk membantu keluarga ini dengan memberikan kail dan melatih bagaimana menggunakan kail untuk memancing bagi kelestarian hidup mereka berbanding memberikan ikan yang hanya dapat dinikmati buat seketika sahaja,” katanya.

Related Posts