“Saya tak akan hormat pada orang yang memalukan saya seperti ini! Ini adalah buli secara mental dan fizikal!” demikian kata mangsa buli, Myera Nyera di Facebooknya, yang dibuli di tempat kerjanya di sebuah restoran makanan segera.
Sementara itu di media sosial, netizen mengecam tindakan biadab dan kurang ajar lelaki terbabit yang sengaja mengaibkan mangsa, selain menggesa pihak pengurusan syarikat restoran berkenaan mengambil tindakan tegas terhadapnya yang jelas sekali menghina rakan setugas.
Ada netizen juga memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan syarikat restoran terbabit dan mereka sedang menjalankan siasatan dan tidak akan berkompromi dengan kakitangannya yang didapati melanggar etika pekerjaan di tempat kerja.
Bagaimanapun, post tersebut telah pun dibuang dan difahamkan Myera telah bertemu dengan pihak atasan serta memaklumkan kes itu telah diselesaikan dengan cara baik. Malah, individu terbabit juga telah membuat permohonan maaf terhadapnya.
Menurut sumber, ekoran kejadian itu juga, kedua-dua mereka digantung kerja. Keadaan ini menyebabkan Myera terpaksa mencari kerja yang lain. Walaupun begitu, Myera tetap berterima kasih kepada netizen yang banyak memberikan sokongan kepadanya sejak kes itu viral di media sosial.