Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Donald Trump mendakwa pernah memberi amaran keras kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin, bahawa beliau akan mengebom Moscow sekiranya Rusia menceroboh Ukraine. Namun, dakwaan itu dinafikan sepenuhnya oleh pihak Kremlin.
Kenyataan mengejutkan itu terkandung dalam rakaman audio perbualan Trump bersama sekumpulan penderma kaya pada tahun 2024 yang dilaporkan oleh CNN. Ketika itu, beliau sedang mengumpul dana menjelang kempennya untuk kembali ke Rumah Putih sebagai Presiden Amerika Syarikat.
Dalam rakaman tersebut, Trump berkata, “Saya cakap pada Putin, ‘Kalau kamu masuk ke Ukraine, saya akan bom Moscow habis-habisan. Saya tiada pilihan lain’.”
Beliau menambah, Putin pada awalnya tidak percaya ugutan itu, tetapi “Dia kata, ‘Saya tak percaya awak.’ Tapi saya rasa dia percaya saya dalam 10 peratus juga.”
Trump turut mendakwa pernah memberi amaran serupa kepada Presiden China, Xi Jinping, beliau akan mengebom Beijing sekiranya China menyerang Taiwan.
Baca juga:
- Video LEGO karya Mahdi Hemmat curi perhatian dunia, bawa naratif konflik semasa
- Pekerja ditahan, didakwa bakar gudang di Ontario, California
- Tujuh anjing ‘hilang’ jadi tular, jalan lebih 17km pulang ke rumah
Kremlin nafikan sebarang perbualan
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menolak dakwaan tersebut dan menegaskan tiada sebarang komunikasi berlaku antara kedua-dua pemimpin ketika itu kerana Trump belum menjadi Presiden.
“Hakikatnya, tiada sebarang perbualan telefon ketika itu. Setahu saya, ini merujuk kepada tempoh masa ketika Trump masih belum menjadi Presiden Amerika Syarikat.”
Menurut CNN, rakaman audio itu diperoleh daripada dua majlis kutipan dana di New York dan Florida dan sebahagian kandungannya dimuatkan dalam buku baharu bertajuk 2024 oleh Josh Dawsey, Tyler Pager dan Isaac Arnsdorf. Namun begitu, tidak jelas bila dan dalam bentuk apa perbualan dengan Putin atau Xi berlaku, sama ada secara rasmi mahupun tidak rasmi.
Trump kini kecewa dengan Putin
Dalam sidang media selepas mesyuarat kabinet pada 8 Julai lalu, Trump meluahkan rasa marah terhadap tindakan Rusia dalam peperangan Ukraine, khususnya kerana ramai tentera Ukraine terkorban.
“Saya tak gembira dengan Putin, itu saya boleh beritahu sekarang. Kita terima macam-macam karut daripada dia… Dia sentiasa nampak mesra, tapi akhirnya tak bermakna langsung.”
Trump turut menyatakan beliau sedang mempertimbangkan rang undang-undang baharu bagi mengenakan lebih banyak sekatan terhadap Rusia. Beliau juga mengumumkan kelulusan untuk penghantaran senjata tambahan dari Amerika Syarikat ke Ukraine.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pula menyambut baik bantuan tersebut, namun menggesa agar ia disegerakan demi keselamatan negara dan rakyatnya.
Sumber: UNILAD











