Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan mahu memimpin majlis tandatangan perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur hujung Oktober ini.
Menurut sumber diplomatik dan kerajaan Malaysia, Trump menjadikan penganjuran majlis itu sebagai syarat utama kehadirannya ke persidangan berkenaan yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober.
Pertempuran selama lima hari di sempadan Kemboja-Thailand pada Ogos lalu meragut sekurang-kurangnya 43 nyawa, sebelum gencatan senjata dimeterai pada 7 Ogos hasil mediasi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, kawasan sempadan masih tegang dengan tentera kedua-dua negara berkawal dan kumpulan nasionalis terus mendesak pemimpin mereka agar tidak membuat sebarang konsesi wilayah.
Baca juga:
- Trump mahu pimpin majlis damai Kemboja-Thailand sebagai syarat hadir ASEAN Summit
- MyCARE tuntut pembebasan sukarelawan Malaysia
- Greta Thunberg sindir Trump selepas dituduh ‘ada masalah mental’
Trump sebelum ini mengancam akan menggugurkan rundingan tarif dengan ASEAN sekiranya kedua-dua negara gagal mencari titik damai. Tekanan turut datang dari China, yang mempunyai pengaruh besar terhadap Bangkok dan Phnom Penh.
Laporan Politico pula mendedahkan, Rumah Putih meminta majlis itu dijalankan tanpa kehadiran pegawai China. Bagaimanapun, perkara tersebut masih belum dimuktamadkan kerana bergantung kepada persetujuan Thailand.
Sidang ASEAN kali ini dijangka menjadi tumpuan dunia dengan kehadiran Trump serta pemimpin utama lain termasuk Perdana Menteri China Li Qiang, Perdana Menteri India Narendra Modi, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.
Sumber: South China Morning Post