Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Peserta Global Sumud Flotilla, PU Rahmat tampil memberikan pandangan berbeza berhubung kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada bulan depan.
Menurut beliau, kehadiran Trump tidak wajar dilihat hanya dari sisi negatif, sebaliknya menjadi ruang strategik untuk Malaysia dan ASEAN menegaskan pendirian tegas dalam isu Palestin serta membincangkan kepentingan ekonomi serantau.
“Trump bukannya orang gila yang tak tahu sifir atau pengiraan untung rugi. Kehadiran dia ke Malaysia sedikit sebanyak mengiktiraf kepentingan ASEAN dalam kek ekonomi dunia masa kini. Kita rugi jika tak menggunakan peluang ini untuk bincang balik berkaitan Tariff dan polisi berkaitan semi konduktor.
“Malaysia juga lebih gagah jika mengecam pendirian Amerika Syarikat tentang Palestin di rumah kita sendiri walaupun Trump tak peduli pun kena kecam,” katanya.
PU Rahmat menambah, walaupun sesetengah pihak menganggap kehadiran Trump sensitif terhadap perjuangan rakyat Gaza, Malaysia telah menunjukkan keberanian apabila menjadi penaung rasmi Global Sumud Flotilla.
“Menerima Trump bukan bermakna kita mengalah. Kita masih boleh berdemontrasi, menekan dan menunjukkan betapa kita tidak setuju dengan dasar Amerika. Ibarat menjemput pembuli ke rumah, kita masih boleh menyatakan dengan tegas rasa tidak puas hati sebelum menghidangkan teh pahit tanpa gula,” ujarnya.
Baca juga:
- Trump ke Malaysia: PU Rahmat beri sudut pandang berbeza
- ‘Tiada child seat punca bayi tercampak keluar kereta’ – Anthony Loke
- Trend pemotongan langganan meningkat, pelanggan Astro semakin menyusut
Penjelasan kerajaan
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan jemputan kepada Presiden AS Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bukan isu negatif. Beliau berkata Malaysia akan gunakan platform ini untuk terus menyuarakan isu Gaza dan Palestin dengan suara tegas serta strategi bijak.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pula menegaskan, ini merupakan peluang terbaik untuk Malaysia menyampaikan pendirian tegas berhubung isu Palestin.
“Malaysia percaya kepada dialog. Menjemput adalah lebih sukar daripada memulaukan, namun inilah masa paling sesuai untuk kita menyampaikan pendirian jelas,” katanya.
Bantahan
Bagaimanapun, kedatangan Trump tetap mengundang rasa tidak puas hati daripada beberapa pihak. Mereka berpendapat, jemputan itu bercanggah dengan pendirian tegas Malaysia selama ini terhadap dasar luar Amerika yang dianggap berat sebelah menyokong Israel.
Ada yang menegaskan, Malaysia sepatutnya memberi mesej lebih keras dengan tidak membuka pintu diplomasi.