Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi jaminan kepada pemimpin Arab dan Muslim bahawa beliau tidak akan membenarkan Israel merampas Tebing Barat. Perkara itu dibangkitkan dalam satu mesyuarat khas bersama lapan negara Arab di New York, menurut laporan Politico.
Walaupun janji itu memberi sedikit kelegaan, usaha menamatkan perang Israel–Hamas yang sudah berlarutan hampir dua tahun masih buntu. Pemimpin Arab yang hadir memberi amaran, sebarang cubaan Israel merampas wilayah Palestin akan memusnahkan harapan penyelesaian dua negara dan berisiko menggagalkan Perjanjian Abraham, pencapaian utama dasar luar Amerika yang dimeterai pada 2020.
Baca juga:
- Trump janji halang Israel rampas wilayah Tebing Barat
- Budak 11 tahun masuk hospital selepas dipaksa belajar 14 jam tanpa henti
- Itali & Sepanyol hantar kapal tentera laut bantu GSF
Netanyahu di bawah tekanan politik
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kini berdepan desakan daripada parti sayap kanan dalam pemerintahannya yang mahu Tebing Barat dijadikan sebahagian daripada Israel. Dengan pilihan raya bakal berlangsung tahun depan, langkah itu boleh dijadikan modal politik untuk menarik sokongan penyokong tegar.
Hakikatnya, Israel di bawah Netanyahu sudah lama memperluas penempatan Yahudi dan mengetatkan kawalan ketenteraan di wilayah yang diduduki itu. Arab serta Eropah menegaskan, rampasan Tebing Barat adalah “garisan merah” yang akan menamatkan saki-baki harapan perdamaian serantau.
Pelan damai 21 Perkara
Dalam mesyuarat tersebut, utusan khas Trump, Steve Witkoff memperkenalkan Trump 21-point-plan yang dirangka untuk pascaperang Gaza. Ia menyentuh soal keselamatan dan pentadbiran, namun tidak diperincikan sama ada isu rampasan Tebing Barat turut dimasukkan.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang turut hadir menyifatkan mesyuarat itu sebagai “berhasil” dalam satu temu bual di Fox News, tetapi enggan mengulas lanjut. Netanyahu pula dijadualkan bertemu Trump di White House pada Isnin ini, dengan dunia Arab menunggu sama ada Trump benar-benar akan menekan Israel menghentikan perang yang telah meragut lebih 64,000 nyawa rakyat Palestin.
Trump sebelum ini pernah menggunakan strategi sama apabila Emiriah Arab Bersatu menandatangani Perjanjian Abraham pada 2020, dengan syarat Israel menangguhkan rancangan merampas Tebing Barat. Kini, janji serupa diulang semula. Persoalannya, adakah ia hanya kata-kata atau benar-benar bakal menjadi penghalang kepada rancangan Netanyahu?