Trump dakwa Israel setuju gencatan senjata di Gaza selama 60 hari | The Reporter

Trump dakwa Israel setuju gencatan senjata di Gaza selama 60 hari

Donald Trump dan Benjamin Netanyahu berdiri bersama di hadapan bangunan rasmi semasa acara pertemuan diplomatik
Donald Trump dan Benjamin Netanyahu | Kredit gambar: Chip Somodevilla / Getty Images

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Selasa mengumumkan Israel sudah bersetuju dengan syarat utama bagi memuktamadkan gencatan senjata sementara selama 60 hari di Gaza. Namun, masih belum jelas sama ada Hamas akan bersetuju dengan cadangan itu.

Menurut dua pegawai pentadbiran AS, persetujuan Hamas masih diperlukan bagi memastikan perjanjian ini terlaksana sepenuhnya. Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump memaklumkan Qatar dan Mesir akan menyampaikan dokumen akhir kepada pihak Hamas.

“Wakil saya telah mengadakan pertemuan panjang dan produktif dengan pihak Israel hari ini mengenai Gaza. Israel telah bersetuju dengan syarat yang perlu untuk memuktamadkan GENCATAN SENJATA 60 HARI dan sepanjang tempoh itu kami akan bekerjasama dengan semua pihak bagi menamatkan perang.

“Qatar dan Mesir yang telah banyak berusaha membawa keamanan akan menyerahkan cadangan akhir ini. Saya berharap, demi kebaikan Timur Tengah, Hamas menerima perjanjian ini kerana keadaan tidak akan menjadi lebih baik jika mereka menolak. Ia hanya akan menjadi lebih buruk.”

Apa yang terkandung dalam cadangan ini?

Lapor CNN, pegawai Qatar telah menyerahkan cadangan baharu itu kepada Israel dan Hamas pada hari sama Menteri Hal Ehwal Strategik Israel, Ron Dermer, berada di Washington untuk berbincang dengan pegawai tertinggi pentadbiran Trump.

Sumber yang mengetahui perkara itu berkata, dokumen ini dihasilkan selepas berbulan-bulan rundingan rahsia yang dipimpin utusan khas Trump, Steve Witkoff. Sebelum ini, Trump pernah mencadangkan perjanjian sama tetapi ditolak oleh Hamas. Cadangan terbaru ini pula mengandungi beberapa kompromi bagi mengatasi kebimbangan Hamas terhadap perjanjian lama, termasuk syarat pembebasan tebusan Israel sebagai pertukaran dengan pembebasan tahanan Palestin sepanjang tempoh gencatan senjata.

Reaksi Hamas dan hala tuju seterusnya

Walaupun cadangan baharu ini dianggap lebih mengambil kira pandangan semua pihak, masih belum pasti sama ada Hamas akan menerimanya. Hamas tetap menuntut gencatan senjata kekal dan mahu hak mereka mentadbir Gaza diiktiraf, sesuatu yang ditolak Israel. Namun, menurut sumber CNN, ada tanda-tanda Hamas mungkin sedia berkompromi dalam beberapa perkara untuk membolehkan rundingan diteruskan. – Agensi

Related Posts