Tak mahu bayi kebuluran, Trump sedia campur tangan
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan sedang merancang untuk mengambil alih tugas pengagihan bantuan kemanusiaan di Gaza susulan kebimbangan terhadap kebuluran besar-besaran yang semakin memburuk di wilayah itu.
Menurut pegawai AS, Trump tidak gembira dengan langkah ini tetapi merasakan tiada pilihan lain bagi mengelakkan krisis kemanusiaan yang lebih dahsyat.
“Masalah kebuluran di Gaza semakin teruk. Donald Trump tidak suka perkara itu. Dia tidak mahu bayi kebuluran, dia mahu ibu dapat menyusukan anak mereka,” kata seorang pegawai AS.
Trump juga tidak sependapat dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mendakwa tiada krisis kebuluran besar berlaku di Gaza. Sebaliknya, Trump menegaskan gambar kanak-kanak yang kurus kering tidak boleh dipalsukan dan itu adalah bukti nyata penderitaan.
Baca juga:
- Pekerja ditahan, didakwa bakar gudang di Ontario, California
- Tujuh anjing ‘hilang’ jadi tular, jalan lebih 17km pulang ke rumah
- Qatar isytihar pegawai Kedutaan Iran sebagai ‘Persona Non Grata’
Bimbang kos tinggi, ajak Eropah dan Negara Arab bantu
Meskipun belum jelas bagaimana AS akan mengambil alih sepenuhnya pengagihan bantuan, Trump dikatakan tidak mahu Amerika menjadi satu-satunya negara yang menanggung kos membantu hampir dua juta pelarian Gaza.
“Presiden tak mahu AS jadi satu-satunya negara yang ‘membuang’ duit untuk selesaikan masalah ini. Ini masalah global,” ujar seorang lagi pegawai AS.
Trump kini menghantar wakil khasnya ke Timur Tengah, Steve Witkoff, untuk meminta bantuan negara-negara Eropah dan Arab supaya sama-sama membantu.
Israel pula dijangka menyokong peranan lebih besar AS dalam misi bantuan selepas menerima kritikan antarabangsa kerana didakwa menyekat kemasukan bantuan atas alasan keselamatan. Sementara itu, Israel menyalahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas kelewatan bantuan.
Menurut United Nations Office for Project Services (UNOPS), iaitu agensi logistik di bawah PBB yang menyelia penghantaran bantuan ke Gaza, hanya 12% trak bantuan berjaya sampai ke destinasi sejak pertengahan Mei. Manakala lebih 1,000 nyawa dilaporkan terkorban di lokasi agihan bantuan milik Gaza Humanitarian Foundation (GHF) akibat keganasan dan kehadiran tentera Israel bersenjata.
Sumber: New York Post








