Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Gambar satelit sahkan Fordow alami kerosakan besar selepas dibom AS
• Bom ‘bunker buster’ digunakan untuk lumpuhkan tapak nuklear tersembunyi
• Iran beri amaran keras, namun AS tegaskan tidak mahu perang, cuma mahu lindungi kepentingan
Gambar satelit terkini mendedahkan enam kawah besar muncul di kawasan pergunungan Fordow, salah satu lokasi tapak nuklear tersembunyi Iran, selepas serangan udara Amerika Syarikat. Kawasan itu dilapor berubah warna, dipercayai akibat letupan besar yang menyebabkan lapisan abu kelabu menutupi lereng gunung.
Menurut analisis CNN berdasarkan imej Maxar Technologies, bentuk kawah dan kesan letupan itu menunjukkan penggunaan bom jenis ‘bunker buster’ sejenis senjata khas yang direka untuk menembusi struktur bawah tanah sebelum meletup.
Pegawai tentera AS mengesahkan pengebom B-2 menggugurkan lebih 12 bom sedemikian ke atas tiga tapak nuklear termasuk Fordow dalam operasi digelar Operation Midnight Hammer.


Serangan dilakukan demi menjaga kepentingan AS
Menurut Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, misi tersebut bertujuan melumpuhkan kemudahan nuklear Iran, bukan untuk menukar rejim di Tehran.
“Amerika tidak mencari peperangan, tapi kami bertindak pantas dan tegas untuk melindungi rakyat, sekutu dan kepentingan kami,” kata Hegseth.
Namun, impak sebenar ke atas struktur bawah tanah Fordow masih belum diketahui sepenuhnya, walaupun tanda permukaan jelas menunjukkan kerosakan besar.
Iran pula memberi amaran serangan AS tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Menteri Luar, Abbas Araghchi menyifatkan tindakan AS sebagai pencetus kepada “kesan yang berpanjangan” dan negara itu “menyimpan semua pilihan terbuka” sebagai tindak balas.
Tiada bukti Iran bangunkan senjata nuklear
Iran berulang kali menafikan dakwaan mereka sedang membangunkan senjata nuklear. Malah, ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menyatakan tiada bukti Iran menjalankan usaha sistematik ke arah itu.
Namun, laporan IAEA bulan lalu mengesahkan Iran telah mengumpul 408.6 kilogram uranium yang diperkaya hingga 60%, hanya satu langkah teknikal lagi ke tahap senjata (90%).
Sumber: Bloomberg








